TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

14 Oktober 2009

SISWA GEMBIRA TIMBA PENGALAMAN BARU

MUAR 13 Okt. - Mahasiswa dan mahasiswi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) gembira kerana berjaya menimba pengalaman baru menerusi kem motivasi bahasa Inggeris dan Matematik secara percuma kepada pelajar-pelajar Kampung Panjang Sari, Pagoh, di sini baru-baru ini.

Selain itu, pengalaman mengambil kanak-kanak berkenaan sebagai adik angkat turut memberi banyak pengajaran berguna dan menyeronokkan dalam usaha membimbing anak bangsa.

Mahasiswa dan mahasiswi terbabit secara langsung dengan setiap aspek kehidupan penduduk di kampung itu yang kedudukannya agak terpencil dari jalan utama dan dikelilingi ladang kelapa sawit.

Dengan suasana perayaan Aidilfitri masih lagi terasa, kemesraan antara penduduk dan para pelajar universiti itu menjadi lebih manis kerana ia seumpama jalinan ahli keluarga yang baru.

Menurut salah seorang pelajar, Siti Zainab Mohd. Lazim, 22, dia amat gembira mengikuti program tersebut kerana berpeluang untuk menyelami sendiri kehidupan kampung di negeri Johor.

Bagaimanapun, jelasnya, tumpuan akan tetap diberikan untuk membimbing adik-adik angkatnya dalam menguasai mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris.

''Saya berasal dari Kelantan dan ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki di Kampung Panjang Sari, Pagoh.

''Hubungan saya dengan keluarga angkat adalah sangat mesra dan saya rasa bersyukur kerana dapat diterima sebagaimana ahli keluarga sendiri," katanya yang merupakan pelajar dalam pengkhususan matematik.

Sementara itu, menurut seorang lagi pelajar, Lieyana Teo Mohd. Zulkifli Teo, 23, dia pernah mengikuti program Bakti Siswa sebelum ini namun ini adalah kali pertama lokasi itu diadakan di Kampung Panjang Sari.

''Di samping menyumbang bakti kepada murid-murid di kampung ini, kami juga banyak belajar mengenai nilai kehidupan sepanjang tiga hari program diadakan," katanya yang berasal dari Melaka.

Kata Lieyana, dia berharap bimbingan yang diberikan akan membantu murid-murid di kampung itu untuk menguasai bahasa Inggeris dengan lebih berkesan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 14 OKTOBER 2009

Tiada ulasan: