PENGUNJUNG SETIA

03 Oktober 2009

'DOAKAN KEJAYAAN ANAK-ANAK SELEPAS SOLAT'


Othman Rahman (duduk dua dari kanan) serta isteri Noraini Abd. Rahman berkongsi kegembiraan dengan anak-anaknya selepas dipilih Tokoh Ibu Bapa Mithali Daerah Muar di Masjid Sultan Ibrahim, Muar, kelmarin.

MUAR 2 Okt. - "Setiap kali selepas solat, kami berdua sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak dan amat memberi penekanan soal pendidikan agama kepada mereka."

Itu rahsia kejayaan membesarkan tujuh cahaya mata yang dikongsi Othman Rahman, 79, serta isterinya, Noraini Abd. Rahman, 69, yang diumumkan sebagai Tokoh Ibu Bapa Mithali peringkat daerah Muar 2009 semalam.

Othman melahirkan kesyukuran dengan pengiktirafan tersebut kerana ia merupakan berkat kesabaran beliau dan isterinya selama membesarkan anak-anak mereka.

"Kami sentiasa memohon untuk kebaikan anak-anak dan doa itu tidak putus-putus kami panjatkan.

"Hubungan dengan anak-anak juga perlu sentiasa terjalin erat dan kami akan berhimpun beramai-ramai setiap kali mendapat peluang," katanya yang merupakan guru takmir di jabatan-jabatan kerajaan dan surau-surau di sekitar daerah ini.

Majlis penyampaian anugerah anjuran Pejabat Agama Islam Daerah itu disempurnakan Pegawai Daerah, Mislan Karmani di Balai Masjid Sultan Ibrahim, di sini.

Anugerah kepada tokoh ibu dan bapa mithali peringkat mukim di daerah ini turut disampaikan kepada para pemenang pada majlis itu.

Othman yang merupakan bekas penyelia Asrama Anak Yatim Muar turut berbangga dengan kejayaan kesemua tujuh anak mereka iaitu empat lelaki dan tiga perempuan kerana berjaya melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi.

Anak sulungnya, Dr. Zulkifli kini memegang jawatan Pegawai Kesihatan Daerah manakala anak lain ialah Saidah (guru); Muhamad Haidhir (Ketua Penolong Pengarah Di Jabatan Perdana Menteri); Ruwaidah (guru) dan Hadfizah, suri rumah yang memiliki diploma daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Anak keenamnya, Alyasa'a pula bekerja sebagai Eksekutif Kanan Kewangan UEM manakala anak bongsunya, Muhamad Fa'aiz kini merupakan Eksekutif Pentadbiran Kolej Universiti Limkokwing.

Noraini yang merupakan suri rumah memberitahu, sambil membesarkan anak-anak di rumah, dia turut menjalankan kelas tuisyen di rumah.

"Untuk membesarkan anak-anak, saya buat banyak kerja sampingan untuk menambah pendapatan keluarga termasuk membuat kuih dan menjual kain baju," katanya yang merupakan ahli jawatankuasa hal ehwal wanita daerah.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 3 OKTOBER 2009

Tiada ulasan: