PENGUNJUNG SETIA

29 Oktober 2009

SEKOLAH SATU ALIRAN BANTU WUJUD PERPADUAN KAUM

Laporan Anwar Hussin, Mohd Anwar Patho Rohman dan Khairul Azran Hussin
bhnews@bharian.com.my

Ahli BN, pembangkang setuju cadangan tokoh sejarah

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Barisan Nasional dan pembangkang semalam sepakat menyokong cadangan tokoh sejarah Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim supaya sekolah satu aliran dilaksanakan sebagai satu usaha mewujudkan perpaduan kaum.

Mereka bersetuju perpaduan antara kaum perlulah menjadi matlamat utama kerajaan dan dengan itu sekolah satu aliran mungkin menjadi titik tolak ke arah itu.

Hamim Samuri (BN-Ledang) berkata, sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami erti perpaduan atau makna sebenar gagasan 1Malaysia.

Dengan itu, katanya, sistem yang ada sekarang perlu dipinda dan semua sekolah menengah hanya mempunyai satu aliran saja bagi memastikan semua kaum berada di bawah satu bumbung perpaduan.

"Pada peringkat sekolah rendah, sekolah beraliran boleh dikekalkan tapi ia disatukan di sekolah menengah. Kerajaan boleh mengambil alih sekolah beraliran bagi mendapat pembelaan sewajarnya," katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2010.

Datuk Ab Halim Ab Rahman (Pas-Pengkalan Chepa) yang bersetuju dengan Hamim berkata, kajian yang dilakukannya menunjukkan sistem pendidikan sekarang tidak mempunyai matlamat akhirnya.

Beliau berkata, sistem pendidikan perlu mempunyai matlamat akhir yang membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Tony Pua (DAP-PJ Utara) berkata beliau setuju semua sekolah aliran disatukan pada sekolah menengah supaya matlamat perpaduan dicapai.

Bagaimanapun, beliau berkata pelajar Melayu yang bijak dan ditempatkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) perlu juga disatukan di sekolah menengah.

Katanya, ini kerana kepandaian pelajar MRSM akan dikongsi bersama dengan pelajar lain.

"Adalah baik jika semua sekolah aliran disatukan di bawah satu sekolah," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 29 OKTOBER 2009

1 ulasan:

Syahir Mohamad berkata...

Salam..
sebagai bakal guru, saya setuju dengan cadangan ni. Pendidikan merupakan antara saluran kepada perpadaun. Dengan saluran ni, pelajar sekitar usia 12-13 tahun sudah "diacuankan" dgn perpaduan. InsyaAllah keadan ni akan mendatangkan hasil apabila dewasa kelak..