PENGUNJUNG SETIA

27 Oktober 2009

PESARA DIGESA CURAH IDEA BANTU KERAJAAN

Asojan (tengah) dan Pegawai Daerah Ledang, Amran Abd Rahman (dua dari kanan) bersama tetamu pada majlis perasmian penubuhan PPKMNJ Cawangan Ledang.

HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN


LEDANG: Pesara kerajaan di negeri ini diminta supaya menyumbangkan pandangan dan idea merangkumi pelbagai sudut yang boleh membantu kerajaan membangunkan negara yang lebih stabil.

Walaupun selepas bersara daripada perkhidmatan, namun pengalaman luas yang mereka miliki mampu menyumbang kepada kestabilan dan pembangunan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M Asojan berkata peranan pesara kerajaan amat penting dalam membantu kerajaan membina sebuah negara yang aman dan stabil.

Beliau berkata, pihaknya tidak menafikan pengalaman luas yang dimiliki oleh pesara kerajaan mampu memberikan input yang baik kepada pentadbiran kerajaan.

“Tetapi jika idea yang mereka miliki hanya diluahkan di kedai kopi sahaja, pandangan ttu hanya didengar oleh orang di sekitarnya saja dan ia tidak sampai ke pihak yang sepatutnya.

“Persatuan sebenarnya menjadi satu platform kepada ahlinya untuk menyuarakan pendapat ataupun kritikan yang kemudian akan disalurkan kepada pihak yang berkenaan untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Beliau hadir merasmikan Mesyuarat Agung Penubuhan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Negeri Johor Cawangan Daerah Ledang di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Penaja PPKMNJ daerah Ledang, Sulaiman Bidin.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 27 OKTOBER 2009

Tiada ulasan: