PENGUNJUNG SETIA

25 Oktober 2009

PAS ALAMI MASALAH KEPIMPINAN SERIUS - TPM

MUAR 24 Okt. - Pas kini berhadapan dengan krisis kepimpinan yang serius menyebabkan mereka berada dalam situasi kelam-kabut ekoran perbezaan pendapat di kalangan pemimpinnya, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi 'membersihkan' parti itu daripada kumpulan prokerajaan perpaduan menunjukkan wujud pertembungan pendapat yang agak ketara dalam Pas.

"Itu menunjukkan memang ada masalah kepimpinan dalam Pas. Apa yang dikatakan Datuk Nik Aziz itu perkara yang (sebelum ini) dianggap tidak berlaku, (tapi) berlaku dan ia serius.

"Wujud pertembungan pendapat dalam Pas. Nik Aziz lawan Hadi (Datuk Abdul Hadi Awang - Presiden), Nik Aziz lawan Nasharuddin (Nasharuddin Mat Isa - Timbalan Presiden), Nik Aziz lawan Husam (Datuk Husam Musa - bekas Naib Presiden). Ada wujud puak-puak yang pelbagai dalam Pas," katanya.

Beliau diminta mengulas cadangan Nik Aziz yang mahu mengadakan EGM bagi mendapatkan keputusan ahli sama ada menerima atau menolak kerajaan perpaduan dengan UMNO.

Muhyiddin ditemui selepas merasmikan Karnival Pendidikan dan Kerjaya Parlimen Pagoh di Dewan Jubli Intan di sini hari ini.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan sebagai berkata, walaupun EGM itu akan menyebabkan parti yang telah berusia 58 tahun itu berpecah, namun, ia penting untuk mendapatkan pandangan ahli mengenai perkara berkenaan.

Beliau turut menamakan tiga pemimpin bermasalah dalam Pas iaitu Nasharuddin; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, dalam kalangan pemimpin dan ahli Pas, ada pihak yang tidak bersetuju, namun ada juga yang mengatakan kerajaan perpaduan dengan UMNO adalah baik demi perpaduan ummah.

"Jadi apa yang dinyatakan Nik Aziz itu jelas menunjukkan Pas dalam kelam-kabut sedikit walaupun zahirnya nampak bersatu.

"Apabila kita ada pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan baru-baru ini, rakyat dah tahu bahawa mereka tidak sepakat dan dalam parti sendiri berdepan masalah. Apa pun itu soal mereka sama ada hendak adakan EGM," katanya.

Ditanya jika EGM itu diadakan dan majoriti ahli Pas bersetuju untuk bekerjasama dengan UMNO, Muhyiddin berkata, perkara itu terserah kepada ahli Pas untuk membuat keputusan.

"UMNO dan pemimpin UMNO, malah Presiden parti kita sejak dulu dan dalam ucapan beliau pada Perhimpunan Agung baru-baru ini pun menyatakan tentang pentingnya kerjasama untuk memupuk semangat perpaduan di kalangan umat Islam.

"Tetapi nampaknya pihak Pas tidak pandang itu serius. Itu terserah kepada mereka untuk membuat keputusan," katanya.

Mengenai kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Bajet 2010 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam sebagai tidak terperinci, Muhyiddin meminta Anwar membaca laporan itu yang disiarkan akhbar hari ini.

"Dia (Anwar) duduk dengan saya dua jam di Parlimen semalam. Dia tak dengar? Bacalah dalam surat khabar. Masih tak terperinci? Siapa dapat RM500, apa subsidi petani dan nelayan, pesara dan guru-guru dapat apa.

"Pada saya, jarang ada belanjawan yang diberi perincian sebegitu bagi semua sektor. Jadi mungkin ketua pembangkang tak berapa tangkap apa yang Perdana Menteri katakan semalam.

''Hari ini laporan belanjawan itu dalam semua media melibatkan semua sektor dan semua pihak ada bahagian masing-masing. Saya tak tahu siapa yang terlepas dan terlepas pandang oleh Perdana Menteri," katanya.

Sambil memberi contoh dalam bidang pendidikan, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pelbagai insentif dan kemudahan yang diberikan dalam bajet itu digariskan secara terperinci.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 25 OKTOBER 2009

Tiada ulasan: