PENGUNJUNG SETIA

09 Oktober 2009

KUMPULAN MARHABAN PELAJAR BERKUNJUNG DARI RUMAH KE RUMAH


Pelajar dan ahli BKSAPK mengadakan program marhaban di Parit Kassan, Bukit Gambir, Ledang baru-baru ini.

LEDANG 8 Okt. – Amalan marhaban memang menjadi pelengkap pada sambutan Syawal di negeri ini dan tradisi itu tetap diteruskan oleh Badan Kebajikan Sekolah Agama Parit Kassan (BKSAPK), Bukit Gambir yang berkunjung dari rumah ke rumah baru-baru ini.

Biarpun sudah tiga minggu Syawal dirai, badan kebajikan berkenaan mengambil kesempatan pada cuti hujung minggu untuk mengadakan program marhaban rumah ke rumah ibu bapa pelajar sekolah tersebut.

Pengerusi BKSAPK, Rozaini Abd. Hamid berkata, sebanyak lima kumpulan marhaban yang terdiri daripada 20 murid, guru dan ahli jawatankuasanya menyertai program tersebut.


KUMPULAN pelajar dan ahli BKSAPK yang mengadakan program marhaban di Parit Kassan, Bukit Gambir, Ledang.


Menurutnya, program itu dianjurkan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak sekolah dengan ibu bapa pelajar sempena Aidilfitri.

“Selain itu, kami juga menyediakan tabung derma sekolah untuk kegunaan menjalankan aktiviti yang melibatkan murid-murid sekolah ini,” katanya semasa ditemui baru-baru ini.

Rozaini berkata, sambutan yang diberikan oleh ibu bapa pelajar amat menggalakkan dan mereka gembira menerima kunjungan kumpulan marhaban itu.

‘‘Setakat ini sebanyak 70 buah rumah di Kampung Parit Kassan dan Parit Haji Idris telah dikunjungi oleh kumpulan marhaban itu,’’ katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 9 OKTOBER 2009

Tiada ulasan: