PENGUNJUNG SETIA

26 Oktober 2009

PAGOH BAKAL JADI HAB PENDIDIKAN

Oleh Mohd Roji Abdullah dan Junita Mat Rasid
bhnews@bharian.com.my

Muhyiddin yakin usaha bantu pelajar tercapai

MUAR: Tan Sri Muhyiddin Yassin, yakin usaha berterusan yang dilaksanakan pelbagai pihak mampu merealisasikan hasrat untuk menjadikan Pagoh sebagai hab pendidikan dan latihan yang baru di negeri ini.

Timbalan Perdana Menteri, berkata sasaran itu tidak mustahil dapat dicapai dengan usaha bersungguh-sungguh serta perancangan yang teliti.

Beliau berkata, ketika ini beberapa pusat latihan kemahiran antaranya Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) sudah diwujudkan di Pagoh dan beberapa pusat latihan lain dijangka turut dibuka selepas ini.

"Saya memang menaruh harapan suatu hari nanti Pagoh akan menjadi hab pendidikan dan latihan baru bukan saja di dalam daerah Muar ini tetapi di Johor.

"Saya percaya hasrat itu menjadi kenyataan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran bersama pihak lain dan menerusi hubungan yang terjalin memudahkan kita untuk merangka perancangan untuk kita memperhebatkan pagi program pendidikan dan latihan di Pagoh ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis prasmian Karnival Pendidikan dan Kerjaya kawasan Parlimen Pagoh di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini. Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang serta Pengerusi Sekretariat Pendidikan Parlimen Pagoh, Tahir Mohd Taat.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata kewujudan lebih banyak institusi latihan dan pendidikan di Pagoh bukan saja akan memberi manfaat kepada penduduk tempatan, malah akan turut dinikmati anak penduduk dari kawasan lain.

Justeru, bagi mencapai hasrat itu Tabung Pendidikan Pagoh dilancarkan bagi mengumpul dana untuk memastikan matlamat untuk memperkasakan program pendidikan di Pagoh dapat dicapai.

"Tabung Pendidikan Pagoh ini tidak membabitkan Kementerian Pelajaran sebaliknya ia adalah inisiatif orang Pagoh ini yang berhasrat untuk meningkatkan lagi pencapaian akademik di kawasan ini.

"Saya difahamkan ramai pihak yang tampil menghulurkan sumbangan kepada tabung ini dan saya harap dana ini dapat membantu Sekretariat Pendidikan Parlimen Pagoh melaksanakan lebih banyak aktiviti pendidikan," katanya.

Katanya lagi, banyak aktiviti untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan anak-anak Pagoh seperti menyediakan kelas tuisyen serta kelas tambahan untuk meningkatkan penguasaan dalam mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris dapat dilaksanakan menerusi dana yang dikumpul dalam tabung berkenaan.

SUMBER: BERITA HARIAN, 26 OKTOBER 2009

Tiada ulasan: