PENGUNJUNG SETIA

19 Oktober 2009

HANYA 12 KES KEMATIAN LIBATKAN H1N1 DI JOHOR

MUAR 18 Okt. – Kajian semula yang dijalankan Kementerian Kesihatan baru-baru ini mengesahkan hanya 12 daripada 27 kematian yang dilaporkan di Johor adalah berpunca daripada selesema babi atau Influenza A (H1N1).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Johor, Dr. Robia Kosai berkata, hasil kajian berkenaan diperoleh selepas statistik kematian itu dibahagikan kepada tiga kategori utama.

Katanya, tiga kategori berkenaan adalah kematian disebabkan sepenuhnya H1N1, kematian disebabkan H1N1 sebagai faktor penyumbang dan kematian yang tiada langsung kaitan dengan H1N1.

“Hanya 12 kes sahaja yang didapati dalam kategori kematian yang berpunca daripada H1N1 secara langsung manakala bakinya adalah dalam kategori yang lain.

“Jabatan Kesihatan negeri Johor akan terus memantau situasi H1N1 di negeri ini serta meningkatkan aktiviti pemerhatian bagi penyakit yang serupa influenza dan kes-kes demam di klinik kesihatan,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Robia, berdasarkan perangkaan dari bulan Mei hingga 10 Oktober lalu, sebanyak 687 kes telah disahkan sebagai H1N1 di seluruh negeri ini.

Beliau bagaimanapun menegaskan wabak tersebut menunjukkan trend penurunan dengan jumlah pesakit yang dimasukan akibat simptom serupa dengan H1N1 (ILI) juga semakin menurun.

“Kes ILI didapati telah menurun kepada 1,047 kes pada awal bulan ini berbanding dengan catatan pada pertengahan bulan Ogos lalu sebanyak 4,264 kes.

“Selain itu, kehadiran pesakit ke klinik-klinik demam di seluruh Johor juga telah menurun dengan ketara iaitu daripada 119,243 orang pada bulan Ogos lalu kepada 29,181 orang pada bulan September,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 19 OKTOBER 2009

Tiada ulasan: