PENGUNJUNG SETIA

25 Oktober 2009

SPNB DIMINTA BANTU GENERASI KEDUA FELDA

TANGKAK: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Syarikat Perumahan Negara (SPNB) membina lebih banyak rumah mampu milik kepada generasi kedua Felda yang sekali gus membantu meningkatkan lagi pembangunan di kawasan tanah rancangan itu.

Timbalan Perdana Menteri, berkata langkah SPNB itu boleh membantu memastikan generasi kedua Felda kekal di tanah rancangan itu dan membantu pertumbuhan pembangunan baru di kawasan berkenaan.

"Saya berpendapat lebih banyak rumah perlu dimiliki oleh rakyat dan di Pagoh juga ramai yang memerlukan rumah kos sederhana yang mampu dibeli mereka. Saya berharap SPNB dapat membantu memudahkan lagi projek perumahan rakyat dilaksanakan," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan kunci rumah kepada 95 generasi kedua Felda Sri Jaya, Bukit Serampang, dekat sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Serampang, Tahir Taat.

Muhyiddin berkata, kerajaan komited bagi membantu rakyat memiliki kediaman dengan harga yang mampu dimiliki.

Malah katanya, dalam Bajet 2010 turut menyentuh usaha kerajaan menyediakan perumahan yang mampu dimiliki semua lapisan masya-rakat.

Katanya, walaupun masih berdepan kesan ekonomi dunia yang meleset, namun kerajaan mampu menyediakan bajet yang mengambil kira kepentingan semua masyarakat termasuk penduduk kampung, petani dan pesara.

Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa memerlukan kerjasama semua pihak bagi membantu kerajaan meningkatkan lagi pembangunan di kawasan tanah rancangan itu dan pada masa sama, generasi kedua Felda juga perlu berganding bahu memajukan lagi kawasan berkenaan.

Sementara itu ketika berucap di Program Astro Kasih dan Sumbangan Amal Akademi Fantasi di Kampung Seri Tanjung, Panchor, Muhyiddin berkata peruntukan RM100 juta untuk kegiatan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam Bajet 2010 membolehkan lebih banyak program membantu rakyat yang memerlukan.

Beliau berkata, penyediaan peruntukan yang besar itu membuktikan kerajaan serius membantu rakyat selaras dengan matlamat gagasan 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Pada majlis itu Astro turut menyerahkan sumbangan RM100,000 hasil keuntungan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diperoleh melalui program realiti Akademi Fantasia kepada Tabung Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Pagoh.

SUMBER: BERITA MINGGU, 25 OKTOBER 2009

Tiada ulasan: