PENGUNJUNG SETIA

28 Oktober 2009

MB RAI 89 BAKAL HAJI LEDANG

LEDANG 27 Okt. - Seramai 89 bakal haji dari daerah Ledang diraikan dalam satu majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di Dewan Jubli Intan Tangkak, di sini semalam.

Selain menikmati hidangan, mereka turut menerima sumbangan kelengkapan haji berupa kain ihram, kain telekung, beg kasut serta karung untuk batu melontar.

Pada majlis yang sama, tazkirah mengenai ibadah haji turut disampaikan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Ledang, Sulaiman Maidin.

Majlis yang dianjurkan Biro Agama UMNO Bahagian Ledang itu merupakan sebahagian daripada tradisi tahunan bagi mendoakan keselamatan pergi dan pulang para bakal haji dari kawasan berkenaan.

Menurut Abdul Ghani, beliau berharap bakal haji dapat menjaga kesihatan masing-masing sepanjang menjalani ibadah yang dituntut dalam rukun Islam itu.

''Saya yakin bakal haji telah pun membuat pelbagai persiapan dan mendapatkan maklumat selengkapnya sebelum bertolak ke tanah suci Mekah.

"Kami semua mendoakan keselamatan bakal haji supaya terpelihara serta dapat menunaikan haji yang mabrur dan diterima Allah," katanya ketika berucap pada majlis yang turut dihadiri Pegawai Daerah Ledang, Amran Abdul Rahman.

Jelas Abdul Ghani lagi, jemaah haji dari Malaysia sememangnya dikenali sebagai jemaah yang tertib dan sikap berkenaan sewajarnya diteruskan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 OKTOBER 2009

Tiada ulasan: