PENGUNJUNG SETIA

25 Oktober 2009

PAS NAMPAK BERSATU LUARAN SAJA: MUHYIDDIN

Oleh Junita Mat Rasid dan Mohd Roji Abdullah
bminggu@bharian.com.my

Syor Muktamar Agung Khas bukti parti bermasalah

MUAR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat supaya diadakan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi membincangkan masalah kepemimpinan parti itu, jelas menunjukkan parti pembangkang itu berhadapan masalah dan hanya nampak bersatu pada luarannya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, syor Nik Aziz itu juga menampakkan perkara yang dianggap tidak berlaku sebenarnya wujud dan membabitkan pertembungan pendapat agak ketara antara pemimpin utama Pas.

"Nik Aziz lawan Hadi (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang), Nasaruddin (Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasaruddin Hassan) lawan Husam (Datuk Husam Musa)... jadi ada puak yang pelbagai," katanya selepas merasmikan Karnival Pendidikan dan Kerjaya Parlimen Pagoh di Dewan Jubli Intan, di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Nik Aziz dalam blognya yang mahu Pas mengadakan muktamar khas itu bagi menyelesaikan masalah dalaman parti termasuk menukar pemimpin utamanya.

Sebelum ini, Nik Aziz juga dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan perpaduan di antara Pas dan Umno yang sebaliknya dikatakan disokong oleh Abdul Hadi; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata syor Menteri Besar Kelantan itu juga menunjukkan ada perbezaan pendapat di kalangan pemimpin Pas, termasuk dalam soal cadangan mewujudkan kerjasama dengan Umno.

"Ada puak dalam Pas tidak setuju. Ada puak yang cakap ia baik untuk perpaduan ummah. Jadi nyatalah apa yang disebut oleh Nik Aziz bahawa Pas dalam keadaan kelam kabut sikit... zahirnya saja nampak bersatu," katanya.

Malah, katanya, pada pilihan raya kecil Bagan Pinang, baru-baru ini pun rakyat tahu Pas tidak sepakat dalam parti sendiri serta berhadapan dengan masalah dan kini terpulang kepada parti itu untuk mengadakan perhimpunan khas bagi membincangkan masalah mereka.

Mengenai kemungkinan muktamar khas Pas itu turut memberi sokongan mengadakan kerjasama perpaduan dengan Umno, Muhyiddin berkata, semuanya terserah kepada Pas kerana Umno dan Presidennya, Datuk Seri Najib Razak sejak dulu lagi sudah menyuarakan cadangan berkenaan.

Katanya, ucapan Najib pada Perhimpunan Agung Umno, baru-baru ini juga turut menyebut pentingnya kerjasama diwujudkan untuk memupuk perpaduan di kalangan umat Islam, tetapi banyak pihak dalam Pas tidak memandang serius perkara itu.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Bajet 2010 yang dibentangkan kelmarin sebagai tidak terperinci adalah tidak benar kerana ia dibuat dengan menyeluruh dan membabitkan semua sektor.

"Jarang ada belanjawan yang bagi perincian kepada semua sektor, mungkin ketua pembangkang tidak berapa 'tangkap' apa yang Perdana Menteri cakap, laporan media menunjukkan belanjawan membabitkan semua sektor... semua pihak dalam masyarakat ada bahagian masing-masing," katanya.

SUMBER: BERITA MINGGU, 25 OKTOBER 2009

Tiada ulasan: