TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

18 Oktober 2009

PINGGIRAN HOMESTAY SEDIA PAKEJ PENGINAPAN

Pinggiran Homestay yang terletak di Kampung Parit Haji Idris, Bukit Gambir, Ledang.

Teks dan Foto Oleh Khairun Haneffa

LEDANG: Pengalaman membuat lawatan ke beberapa kampung yang mengusahakan program inap desa atau homestay telah mendorong seorang wanita dari sebuah kampung pedalaman menjalankan program tersebut di kampungnya.

Keinginan tersebut telah berjaya dilaksanakan pada Jun 2006 apabila rumah beliau yang terletak di pinggir sebuah ladang getah Felda siap dibina sepenuhnya hasil titik peluhnya sendiri.

Piah Sidi

Semangat kental yang ditunjukkan oleh Piah Sidi, 45 dari Kampung Parit Haji Idris, Bukit Gambir untuk mengusahakan program inap desa di kampungnya terbukti apabila 'Pinggiran Homestay' memulakan operasinya.

Piah yang juga Pengerusi Gabungan Perkumpulan Wanita (GPW) Felda Parit Haji Idris berkata, rumahnya merupakan satu-satunya yang dibina di kawasan tanah Felda itu kerana peneroka yang lain tidak tinggal di situ tetapi menetap di kampung-kampung berhampiran.

"Idea mengusahakan program homestay ini lahir apabila saya sering melawat ke kampung-kampung yang mengusahakan program homestay sama ada di kampung tradisional mahupun perkampungan Felda.

Lokasi Pinggiran Homestay yang terletak di pinggir ladang getah Felda Parit Haji Idris.

" Lokasi yang strategik iaitu di pinggir ladang getah Felda dan suasana kampung yang mendamaikan menguatkan semangat saya untuk mengusahakan program itu lebih-lebih lagi mendapat sokongan dan dorongan daripada pihak pengurusan Felda," kata ibu kepada empat orang anak itu ketika ditemui di homestaynya.

Menurut Piah, program itu diusahakan bersama suaminya, Kamaros Zaman Mohd Affendi, 50 yang turut memberikan galakan walaupun sibuk dengan tugas sebagai seorang pendidik dan penulis buku.

Katanya, Pinggiran Homestay terletak di hujung Kampung Parit Haji Idris iaitu kira-kira 7 kilometer (km) dari pekan Bukit Gambir dan 15 km dari pusat perkelahan Gunung Ledang.

"Kami hanya menerima tempahan pada musim cuti sekolah dan cuti hujung minggu sahaja kerana pada hari-hari biasa kami terikat dengan tugas masing-masing dan tempahan perlu dibuat seminggu lebih awal.

"Antara pakej yang kami sediakan ialah penginapan sama ada untuk individu, keluarga mahupun kumpulan di samping makanan dan minuman untuk sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam.

"Kapasiti untuk penginapan adalah 30 orang dalam satu-satu masa tetapi jika lebih daripada itu kami akan menempatkan mereka di cawangan kami yang terletak di kampung berhampiran," katanya yang juga ahli Persatuan Homestay Negeri Johor.

Menurut Piah lagi, selain pakej penginapan, mereka juga berpeluang melawat ke ladang getah Felda yang terletak di sebelah Pinggiran Homestay untuk melihat aktiviti menoreh yang dilakukan oleh peneroka malah berpeluang untuk mencuba menoreh getah.

Katanya, persembahan kebudayaan oleh masyarakat kampungnya seperti kompang, kempling, silat dan kugiran turut disediakan sekiranya terdapat permintaan daripada pelancong yang menginap di homestay itu.

"Sebenarnya kami menyediakan program ini lebih kepada kebajikan kerana bayaran yang dikenakan amat berpatutan malah menu makanan yang disediakan dimasak oleh kami sendiri.

"Sekiranya mereka ingin membuat BBQ, kami sediakan tempat dan mereka boleh melakukan aktiviti tersebut sambil berkaraoke jika ingin kemudahan tersebut," jelasnya lagi.

Piah berkata, semenjak program inap desa itu diusahakan, kebanyakan mereka yang membuat tempahan terdiri daripada keluarga pengantin yang bertandang ke majlis perkahwinan di sekitar daerah Ledang yang datang dari Kedah, Kelantan, Pahang dan Singapura untuk menginap di sini.

"Mereka gemar menginap di sini berbanding menyewa di hotel kerana suasana di perkampungan lebih menyeronokkan ditambah lagi dengan kos yang berpatutan dan layanan mesra yang kami berikan," katanya.

Menurutnya lagi, terdapat juga pelajar-pelajar daripada institusi pengajian tinggi yang melakukan kerja praktikal di beberapa jabatan di kawasan Bukit Gambir menyewa di sini selain pelancong yang hendak ke pusat perkelahan Gunung Ledang yang terletak berhampiran kampung itu.

Piah berharap program inap desa yang diusahakannya itu menjadi pendorong semangat kepada masyarakat di kampungnya untuk turut serta mengusahakan program itu.

Katanya, mereka yang ingin membuat tempahan atau mendapatkan keterangan lanjut berkaitan Pinggiran Homestay boleh menghubungi beliau di talian 013-2037805 atau suaminya 013-6166790.~iNFOLEDANG

3 ulasan:

Azman Md Safiee berkata...

Salam Ziarah,

Musafir HomeTown Jasin Melaka Promotion Price RM70/night.Blog http://jasinhomestay.blogspot.com @ 0123736548

ila berkata...

mntak maklumat pembayaran bagi 3hari 2mlam dan gmbar dlaman rumah...sila email ke areziela_z8@yahoo.com..trime kasih...

Syed berkata...

N2.244508, E102.632519 gps lokasi tepat untuk ke sana melalui lorong yang bertentangan dengan dewan serbaguna bukit gambir. Kena guna garmin atau papago. waze dan google map mcm x berapa nampak.