PENGUNJUNG SETIA

11 Oktober 2009

TERKORBAN SELEPAS HANTAR TAUHU

Oleh Zalifah Mohd Yatim
bhnews@bharian.com.my

KERETA mangsa remuk selepas terbabas di Jalan Solok, Tangkak, awal pagi semalam.

Kereta dinaiki 4 rakan sekerja terbabas masuk longkang longkang

TANGKAK: Seorang pekerja memproses tauhu maut, manakala tiga rakan sekerja termasuk abangnya parah apabila kereta yang mereka naiki terbabas di Kilometer 33.5, Jalan Solok, semalam.

Dalam kemalangan jam 5.45 pagi itu, Salzelan Bidin, 22, yang dalam perjalanan pulang ke Kampung Pangkalan Besar, di sini maut di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk penumpang depan dengan kecederaan teruk di kepala.

Abang mangsa, Salzeli, 24, dan dua rakannya iaitu pemandu kereta Honda Civic, Jamaluddin Mokhtar, 22, dan Shamsul Anuar, 23, parah dan dirawat di Hospital Tangkak, di sini.

Mereka dihantar orang ramai ke hospital berkenaan, manakala mayat Salzelan dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Tangkak sejam kemudian.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superitendan Harun Idris, berkata nahas berlaku ketika kereta terbabit yang dalam perjalanan dari Bukit Gambir ke Tangkak terbabas memasuki laluan kanan dan terhumban ke longkang.

Katanya, pemandu mungkin keletihan dan mengantuk menyebabkannya gagal mengawal kenderaan.

"Polis meminta saksi kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Sayuti Mohammad di 06-97512222 bagi membantu siasatan," katanya di sini, semalam.

Sementara itu, abang sulung mangsa, Salleh, 26, berkata Salzeli iaitu adik kedua dan mangsa, adik ketiga daripada sembilan beradik itu keluar ke tempat kerja jam 9.30 malam kelmarin.

Beliau berkata, mereka terbabit dalam kemalangan selepas menghantar tauhu kepada pelanggan di sekitar Bukit Gambir.

Katanya, kali terakhir bertemu pada malam sebelum itu Salzelan lebih banyak mendiamkan diri berbanding biasa.

"Jenazah adik akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Sialang Darat," katanya ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat Hospital Tangkak, semalam.

SUMBER: BERITA MINGGU, 11 OKTOBER 2009

Tiada ulasan: