PENGUNJUNG SETIA

12 Oktober 2009

KUMPULAN MARHABAN SEKOLAH MERIAHKAN AIDILFITRI

Salah satu kumpulan marhaban Sekolah Kebangsaan Parit Kasan (SKPK), Bukit Gambir bergambar selepas selesai mengunjungi rumah penduduk.

Kumpulan Marhaban SK Parit Kasan sedang berselawat di rumah Sijas Pikan di Kampung Parit Kassan.

Sebahagian murid Sekolah Agama Parit Kassan (SAPK) sedang bermarhaban di rumah Zamri Ahmad dalam program marhaban Aidilfitri di Kampung Parit Kassan.

Teks dan Foto: ADI SABARIMAN

BUKIT GAMBIR: Beberapa buah sekolah rendah dan agama telah mengadakan program kunjungan marhaban ke rumah-rumah ibu bapa pelajar sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Program anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Badan Kebajikan Sekolah Agama (BKSA) itu merupakan aktiviti tradisi yang dilaksanakan saban tahun dengan kerjasama pihak sekolah bagi memeriahkan bulan Syawal.

Pada cuti hujung minggu yang lalu, beberapa sekolah telah mengadakan aktiviti tersebut di antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Kasan, SK Simpang 5 Darat, Sekolah Agama (SA) Parit Kassan dan SA Simpang 5 Darat.

Setiausaha PIBG SKPK, Ismail Mohamed berkata, sekolahnya turut mengadakan program kunjungan marhaban ke rumah-rumah ibu bapa pelajar dan program ini dikelolakan oleh Panitia Pendidikan Islam.

Katanya, program tersebut bertujuan untuk mengeratkan hubungan di antara pihak sekolah dengan ibu bapa pelajar yang anak mereka belajar di sekolah ini.

"Sekolah kami membuat lapan kumpulan dengan setiap kumpulan terdiri daripada 20 orang murid serta diiringi guru-guru dan ahli jawatankuasa PIBG.

"Kumpulan tersebut berkunjung ke rumah-rumah pelajar yang tinggal di Kampung Parit Kassan, Parit Haji Idris, Parit Jarum Darat dan Parit Ghani," katanya.

Pengerusi BKSA Parit Kassan, Rozaini Abd Hamid berkata, sebanyak lima kumpulan marhaban telah dibentuk yang terdiri daripada murid-murid Darjah 4, 5 dan 6 dengan diiringi guru-guru dan ahli jawatankuasa BKSA.

Menurutnya, kumpulan marhaban itu berkunjung ke rumah-rumah pelajar di sekitar Kampung Parit Kassan dan Parit Haji Idris yang telah membuat persetujuan untuk dikunjungi.

Katanya, program ini dapat melatih pelajar bertemu masyarakat setempat membaca doa serta berucap memohon kemaafan daripada tuan rumah yang dikunjungi.

"Selain bermarhaban dan bermaaf-maafan sempena Aidilfitri, kami turut menyediakan tabung derma dan kutipan yang diperolehi akan digunakan untuk menjalankan aktiviti yang melibatkan murid-murid sekolah," katanya.

Sementara itu, Setiausaha PIBG SKS5D, Tarmizi Md Nas pula memberitahu, sekolahnya mengadakan program marhaban secara bergabung dengan SA Simpang 5 Darat dan tradisi itu telah dijalankan sejak dahulu lagi.

"Dengan tujuh kumpulan marhaban terdiri daripada murid-murid, guru dan ahli jawatankuasa PIBG dan BKSA, kumpulan tersebut berkunjung ke rumah-rumah pelajar di sekitar Kampung Simpang 5 Darat, Parit Bunga Raya Hujung dan Parit Pulai.

"Seperti sekolah-sekolah lain, kami juga menyediakan tabung derma dan hasil derma yang diperolehi akan dibahagi sama rata di antara SKS5D dengan SAS5D memandangkan rumah yang dikunjungi serta murid-murid yang menyertainya adalah murid yang sama belajar di kedua-dua sekolah itu," katanya.~INFOLEDANG

Tiada ulasan: