PENGUNJUNG SETIA

25 Oktober 2009

MUHYIDDIN LANCAR TABUNG PENDIDIKAN PAGOH

MUAR 24 Okt. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Tabung Pendidikan Pagoh bagi menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam membantu menggerakkan program-program pendidikan di kawasan Parlimen itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, tabung itu turut membantu Sekretariat Pendidikan Parlimen Pagoh (SPPP) mengadakan aktiviti yang melibatkan sekolah rendah dan menengah di kawasan berkenaan.

"Kita harap sumbangan daripada masyarakat akan digunakan untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar yang memerlukan sokongan tuisyen tambahan, kelas motivasi serta bantuan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival Pendidikan dan Kerjaya Parlimen Pagoh di Dewan Jubli Intan, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi SPPP, Tahir Taat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, SPPP digerakkan sepenuhnya hasil dana sumbangan masyarakat dan hanya menerima peruntukan kecil daripada kerajaan.

"Ia diusahakan oleh sekretariat tapi harap ada pihak yang sudi memberi penajaan untuk bersama-sama kita meningkatkan kemajuan dan kecemerlangan para pelajar di Parlimen Pagoh," katanya.

Beliau berkata, sekiranya model ini berjaya, ia mungkin dapat dicontohi oleh kawasan Parlimen dan negeri lain.

Sempena karnival selama dua hari hingga esok, pelbagai aktiviti diadakan termasuk program debat anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta pameran kerjaya oleh Jabatan Tenaga Kerja dan pameran kampus Astro.

Angkasawan Negara, Dr. Faiz Khaleed dijadual turut memeriahkan karnival tersebut esok dengan dengan berkongsi pengalaman di samping orang ramai boleh menyertai ceramah simulator penerbangan dan keusahawanan.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 25 OKTOBER 2009

Tiada ulasan: