TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

17 Oktober 2009

1,400 GURU AGAMA BERPELUANG BUAT UMRAH


NASSERI Taib (kiri depan) serta Ismen Nadim menandatangani memorandum persefahaman antara Kogaj dengan Hijjaz Corporation di IKBN Pagoh, Muar, baru-baru ini.

MUAR 16 Okt. - Lebih 1,400 guru Sekolah Agama Kerajaan Johor kini berpeluang untuk mengikuti pakej umrah ke tanah Suci Mekah secara potongan gaji menerusi perkhidmatan yang disediakan Hijjaz Corporation Sdn. Bhd.

Perkhidmatan yang dipersetujui Koperasi Perusahaan Dan Perniagaan Guru-Guru Agama Johor Bhd. (Kogaj) itu turut membuka peluang kepada para guru agama untuk melawat pelbagai destinasi di negara Asia Barat.

Pengerusi Kogaj, Prof. Dr. Nasseri Taib berkata, beliau yakin pakej umrah tersebut akan mendapat sambutan yang menggalakkan memandangkan permintaan yang tinggi di kalangan para guru agama.

"Kerjasama yang dimeterai dengan Hijjaz Corporation ini akan menyediakan kemudahan kepada para guru untuk mengerjakan umrah, ziarah dan pelancongan ke tanah suci dan beberapa destinasi tertentu.

"Kemudahan pembiayaan akan disediakan Kogaj dan pembiayaan balik dapat dibuat melalui potongan Angkasa (Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Kogaj dengan Hijjaz Corporation di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pagoh di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, Kogaj diwakili Nasseri manakala Hijjaz Corporation diwakili oleh Pengarah Urusannya, Ismen Nadim Isam.

Hadir sama pada majlis yang diadakan serentak dengan Program Jamuan Makan sempena Aidilfitri itu adalah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Johor, Sulaiman Dumang.

Menurut Nasseri, jumlah guru sekolah agama di Johor adalah lebih 4,000 orang namun ahli yang berdaftar dengan Kogaj adalah sebanyak 1,400 orang.

"Saya yakin ramai guru agama terutamanya guru yang muda akan berminat dengan pakej umrah ini memandangkan pelbagai input yang akan diperoleh," katanya.

Jelas beliau, selain pakej umrah berkenaan, Kogaj juga akan menjadi pembekal kepada beberapa produk keluaran Hijjaz Corporation termasuk minuman kesihatan kopi barli Hijjaz, pakaian dan buku-buku ilmiah.

Katanya, sehingga kini, pelbagai aktiviti perniagaan telah dijalankan Kogaj dengan ia merangkumi program pembiayaan, perladangan dan sewaan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 17 OKTOBER 2009

Tiada ulasan: