PENGUNJUNG SETIA

07 Oktober 2009

SABARIAH, NORAENI CARI IBU BAPA KANDUNG


Noraeni (kanan) menunjukkan gambarnya sewaktu kecil bersama ibu bapa angkatnya, mengharapkan akan ada maklumat yang membolehkan dia bersatu semula dengan ibu bapa kandungnya di Wisma MCA, semalam.

MUAR 6 Okt. - Kehadiran Syawal setiap tahun turut membawa bersama kepiluan bagi Sabariah @ Sahariah Salleh, 44, kerana sehingga kini masih gagal menjejaki ibu bapa kandungnya.

Sejak ibu bapa angkatnya meninggal dunia, keinginan Sabariah untuk bertemu dengan ibu bapa kandung semakin mendalam biarpun terpisah sejak dilahirkan pada 1965.

Jelas Sabariah, dia hanya mengetahui kedudukannya sebagai anak angkat semasa majlis perkahwinannya pada tahun 1992 kerana menggunakan wali hakim.

"Ibu bapa angkat, Hindon Hussin dan Salleh Ali amat berahsia orangnya dan mereka langsung tidak mahu saya tahu yang saya adalah anak angkat.

"Maklumat yang saya peroleh amat sedikit, itu pun daripada mak saudara saya yang memberitahu saya diserahkan oleh sebuah keluarga keturunan Cina," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Jelasnya, ibu saudaranya itu, Hasmah Hussin, 70, memberitahu bahawa ibu bapanya berasal dari Jasin, Melaka dan dia telah diserahkan kepada ibu bapa angkat sebaik sahaja dilahirkan pada Februari 1965 di Hospital Besar Melaka.

"Ibu saudara saya ketika itu sedang menjalani latihan bidan di hospital tersebut dan berumur sekitar 22 atau 24 tahun semasa peristiwa itu.

"Difahamkan saya diserahkan kerana ibu bapa kandung saya telah mempunyai dua anak perempuan sebelum saya dan mengikut kepercayaan masyarakat Cina, anak perempuan ketiga berturut-turut mungkin akan membawa nasib tidak baik," katanya.

Beliau yang menetap di Sungai Abong di sini berkata, dia bersama suaminya telah berusaha untuk menjejaki ibu kandungnya sejak 10 tahun lalu namun sehingga kini usaha itu menemui kegagalan.

Beliau amat berharap mereka yang mengenali keluarga kandungnya dapat menghubunginya di talian 013-6984009 atau 019-7774009.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Noraeni Mohamed, 52, masih berharap untuk bertemu semula dengan ibu bapa kandungnya yang juga berketurunan Cina setelah berpisah sejak dilahirkan.

Bagi suri rumah itu, kedua ibu bapa itu dikenali sebagai Cheong Yen dan Goh Moi Kia dan sekiranya masih hidup, usia mereka kini mungkin sudah menjangkau lingkungan 70-an.

Noraeni yang dilahirkan pada 5 April 1957 di Sungai Buloh, Selangor telah diserahkan kepada ibu bapa angkatnya iaitu Mohamed Haron dan Mek Esah Salleh dan menetap di Kota Bharu, Kelantan.

Mohamed yang merupakan pengawal di Istana Kelantan, meninggal dunia 21 tahun lalu manakala isterinya pula meninggal dunia empat tahun lalu.

Noraeni ketika ditemui di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini hari ini berkata, arwah ibu angkatnya sempat berpesan kepadanya supaya mencari semula ibu bapa kandungnya.

"Saya tidak mengetahui butiran atau latar belakang ibu bapa kandung saya malah tidak dapat membayangkan wajah mereka. Tetapi, saya teringin hendak berjumpa mereka semula sekiranya ada kesempatan," jelas Noraeni yang ditemani dua anaknya meminta bantuan ketua biro, Datuk Michael Chong.

Dia berkahwin dengan Allahyarham Dr. Ahmad Basri Md. Yusoff, yang pernah menjadi pegawai khas kepada bekas Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad.

Noraeni kini mempunyai enam orang anak, lima lelaki dan seorang perempuan.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kedua ibu bapa Noraeni itu diminta menghubungi biro pengaduan berkenaan di talian 03-21618044.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 7 OKTOBER 2009

Tiada ulasan: