PENGUNJUNG SETIA

29 Oktober 2009

PENANGAN BUKIT GAMBIR BIKERS

SEBAHAGIAN ahli kelab Bukit Gambir Bikers bergambar bersama Muhidin (berdiri empat dari kanan) ketika menghadiri majlis rumah terbuka ahli di Kampung Parit Kassan, baru-baru ini.
HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN


AHLI kelab Bukit Gambir Bikers (BGB), Jefri Pairon (baju putih) menerima kunjungan rakan sekelabnya pada majlis rumah terbuka.

AHLI kelab Bukit Gambir Bikers menikmati juadah yang dihidangkan.

Oleh Hai Rozzaman Jalal
bhnews@bharian.com.my

Pemilik motosikal berkuasa tinggi utama perpaduan ahli jayakan program kemasyarakatan

BUKIT GAMBIR: Kelab pemilik motosikal berkuasa tinggi yang baru ditubuhkan di daerah Ledang dikenali sebagai Bukit Gambir Bikers (BGB) mengutamakan perpaduan dan kemesraan di kalangan ahli.

BGB mengutamakan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat setempat selain menjaga kebajikan ahli supaya mereka yang menyertai kelab itu mendapat manfaat.

Sebelum ini, kelab itu dikenali sebagai Kelab Jaguh Gambir yang menghimpunkan pemilik motosikal Jaguh di sekitar Bukit Gambir tetapi atas permintaan ramai pemilik motosikal berkuasa tinggi untuk menyertai kelab ini, ia ditukar kepada BGB.

Presiden BGB, Muhidin Osman, berkata setakat ini lebih daripada 30 pemilik motosikal berkuasa tinggi menganggotai kelab berkenaan dan pelbagai aktiviti dijalankan sama ada kegiatan bersama masyarakat setempat atau bergabung dengan kelab motosikal dari luar kawasan Bukit Gambir.

"Selain menyertai aktiviti berkonvoi bersama ahli kelab, BGB turut menerima jemputan mengiringi orang kenamaan ke majlis yang dianjurkan oleh pihak tertentu.

"Kelab ini juga pernah menganjurkan program Jelajah Johor 2009 sempena sambutan Keputeraan Sultan Johor sehingga ke Tanjung Piai, Pontian," katanya.

Muhidin berkata, sempena Bulan Kemerdekaan yang lalu, ahli kelabnya juga diminta oleh pihak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gambir untuk mengiringi peserta program Konvoi Bermotosikal Jalur Gemilang yang membabitkan kira-kira 200 pelajar bermotosikal jelajah daerah Muar dan Ledang.

Ahli BGB, Jefri Pairon berkata, sempena Aidilfitri lalu beliau mengadakan majlis rumah terbuka di kampungnya dihadiri ahli kelab dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi sekaligus berjaya menarik minat tetamu yang hadir.

"Keakraban sesama ahli dengan masyarakat kampung sentiasa terjalin dan ini dapat menepis tanggapan sesetengah pihak pemilik motosikal besar hanya untuk mempamerkan kenderaan mereka saja.

Walaupun ahli yang menyertai kelab ini daripada pelbagai peringkat umur dan kerjaya, namun kemesraan dan hubungan silaturahim sesama mereka tetap utuh," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 29 OKTOBER 2009

Tiada ulasan: