PENGUNJUNG SETIA

25 Oktober 2009

BANTU GENERASI KEDUA FELDA MILIKI RUMAH

MUAR 24 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) memainkan lebih peranan dalam membantu generasi kedua warga Felda memiliki rumah mampu milik di kawasan rancangan di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha berkenaan bukan sahaja dapat membantu menaik taraf kehidupan warga Felda malah memastikan pertumbuhan berterusan di kawasan rancangan.

Menurutnya, inisiatif itu juga akan menjamin masa depan generasi kedua warga Felda untuk membangunkan kawasan rancangan di samping membasmi masalah kemiskinan yang berlaku.

"Saya berpendapat lebih banyak kemudahan perumahan mampu milik ini masih diperlukan rakyat.

"Di Pagoh sendiri, ramai yang memerlukan rumah kos sederhana dan kos rendah yang mampu dimiliki, untuk itu saya berharap, SPNB dapat meningkatkan usaha untuk membina lebih banyak rumah yang mampu dimiliki rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian kunci rumah mesra rakyat SPNB kepada 95 keluarga di Felda Seri Jaya, Bukit Serampang di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berharap, setiap lapisan rakyat akan dapat bersama-sama menyumbangkan tenaga, fikiran dan pengalaman dalam membangunkan negara.

Jelasnya, menerusi belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, kerjasama yang erat daripada rakyat diperlukan untuk memulihkan kembali ekonomi dan mengurang defisit negara.

"Dalam situasi ekonomi yang meleset dan lembap, kita masih lagi dapat membentangkan belanjawan mesra rakyat yang memberi tumpuan kepada segenap lapisan rakyat.

"Kesungguhan ini adalah untuk membantu setiap sektor dan kita berharap rakyat akan dapat mendapat manfaat untuk menaikan lagi taraf hidup," katanya.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis Astro Kasih di Kampung Seri Tanjung, Panchor di sini, Muhyiddin menjelaskan, peruntukan sebanyak RM100 juta bagi aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam Bajet 2010 akan memastikan lebih banyak kerja-kerja kemasyarakatan dapat digerakkan.

Jelas beliau, program tersebut akan memenuhi kepentingan golongan yang memerlukan dan ia selaras dengan gagasan 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

"Peruntukan ini akan memastikan lebih banyak aktiviti kemasyarakatan dan kerja-kerja amal dapat dilaksanakan dan ia sekali gus membawa program CSR di negara ini naik satu tahap yang lebih tinggi lagi," katanya.

Pada majlis tersebut, Muhyiddin turut melahirkan penghargaan kepada Astro yang menyalurkan sumbangan berjumlah RM100,000 hasil keuntungan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diperoleh program realiti Akademi Fantasia kepada Tabung Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Pagoh.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 25 OKTOBER 2009

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

generasi kedua felda sepatutnya lebih kaya dari bapaknya. kalau bapaknya ada tanah 10 ekar dan tapak dan rumah suku ekar, berapa banyak pula generasi kedua perlu dibantu?. tak kan 10 ekar kebun tak mampu keluar hasil dan besarkan anak-anak untuk tambah harta ,samada pendidikan yg baik dan kehidupan yg lebih baik untuk anak-anak? apa bantuan kita nak bagi lagi? bandingkan orang kampung tradisional, berapa ekar mereka ada/ siapa yg bantu mereka?kenapa asyik anak felda saja patut dibantu? anak orang kampung tak istimewa ke?