PENGUNJUNG SETIA

05 Oktober 2009

KUNJUNGAN MARHABAN ERATKAN SILATURAHIM

Sebahagian daripada kumpulan Marhaban Sekolah Agama Parit Kassan, Bukit Gambir bergambar bersama guru serta ahli jawatankuasa Badan Kebajikan SAPK selepas selesai program marhaban.

Kumpulan Marhaban Sekolah Agama Parit Kassan, Bukit Gambir sedang berselawat di rumah pelajar yang dikunjungi dalam program yang dianjurkan oleh Badan Kebajikan SAPK.

OLEH Khairun Haneffa

LEDANG 4 OKT:
Kemeriahan suasana Aidilfitri masih terasa walaupun telah berada di pertengahannya dengan kunjungan kumpulan marhaban yang dianjurkan oleh pihak sekolah.

Sempena cuti hujung minggu yang lalu, Badan Kebajikan Sekolah Agama Parit Kassan (BKSAPK), Bukit Gambir telah mengadakan program marhaban ke rumah ibu bapa pelajar yang belajar di sekolah itu.

Pengerusi BKSAPK, Rozaini Abd Hamid berkata sebanyak lima kumpulan yang terdiri daripada 20 orang murid diiringi guru-guru serta Ahli Jawatankuasa badan bagi setiap kumpulan telah menyertai program tersebut.

Menurutnya, tujuan utama program itu dilaksanakan adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara pihak sekolah dengan ibu bapa pelajar di samping bermaaf-maafan sempena Aidilfitri.

"Selain itu, kami juga menyediakan tabung derma di mana dana yang dikumpul itu akan dimasukkan ke dalam tabung badan untuk kegunaan pihak sekolah menjalankan aktiviti yang melibatkan murid-murid sekolah ini," katanya ketika ditemui pada program itu.

Rozaini berkata, sambutan yang diberikan oleh ibu bapa pelajar amat menggalakkan di mana mereka menerima kunjungan kumpulan marhaban ini dengan perasaan gembira serta menyediakan pelbagai juadah.

Tambahnya lagi, sebanyak 70 buah rumah di Kampung Parit Kassan dan Parit Haji Idris telah dikunjungi oleh kumpulan marhaban itu manakala bagi rumah yang tidak dikunjungi pula telah memberikan derma kepada tabung badan kebajikan.

Tiada ulasan: