PENGUNJUNG SETIA

29 Januari 2010

TANDAS BERBAYAR DI MASJID


KAUNTER sumbangan bagi orang luar yang menggunakan bilik air dan tandas di Masjid Jamek Sultan Ibrahim.


MUAR 28 Jan. – Bagi orang luar yang mengunjungi Masjid Jamek Sultan Ibrahim di sini pasti terkejut apabila mereka perlu mengeluarkan wang untuk menggunakan bilik air dan tandas di masjid tersebut.

Biarpun tandas berkenaan tertera nilai 20 sen untuk membuang air dan 60 sen bagi mandi, pengguna sebenarnya digalakkan bersedekah bagi bersama-sama menjaga kebersihan dan keceriaan masjid.

Sedikit sebanyak, langkah mengenakan bayaran itu agak menimbulkan kontroversi kepada ahli jemaah.

Namun matlamatnya adalah bagi membimbing peranan bersama daripada anggota masyarakat.

Seorang ahli jemaah masjid, Mohd. Zaki Mustafa, 51, memberitahu, langkah meletakkan kaunter bayaran tersebut dilakukan kerana kemudahan masjid itu kerap kali disalah gunakan.

“Kedudukan masjid ini terletak berhampiran dengan Dataran Tanjung Emas dan setiap kali bila ada program, orang luar terutama pekerja asing akan masuk ke masjid ini.

“Tidak salah untuk menggunakannya namun mereka masuk sesuka hati, mandi dan tidak menjaga kebersihan,” katanya.

Menurutnya, langkah mengenakan bayaran itu pada mulanya menerima reaksi negatif namun matlamat utamanya adalah untuk mendidik masyarakat menghargai kebersihan masjid.

“Sebenarnya, sumbangan yang diharapkan adalah ikhlas daripada orang ramai dan memang kami terkejut mendapati jumlah sumbangan yang diterima adalah amat menggalakkan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lujnah masjid itu, Dzulkafli Mohamed berkata, sumbangan yang diterima menerusi kaunter itu akan digunakan untuk aktiviti kebersihan dan keceriaan masjid itu.

“Bagi menjaga kaunter ini, pihak masjid mengambil orang kurang upaya dan ini memberi peluang pekerjaan bagi golongan tersebut,” katanya yang juga Pegawai Tadbir Agama Daerah Muar.

Jelasnya, biarpun bukan berbentuk kutipan secara penguatkuasaan, pihaknya menerima reaksi positif menerusi sumbangan berterusan daripada orang ramai.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 29 JANUARI 2010

28 Januari 2010

JPAM TANGKAP TEDUNG SELAR


LIMA anggota JPAM menunjukkan ular tedung selar sepanjang empat meter yang berjaya ditangkap di Serom 6, Sungai Mati, Muar, Johor, semalam.


LEDANG 27 Jan. - Kelibat yang dilihat penduduk di kawasan Serom 6, Sungai Mati di sini semalam nyata menggemparkan kerana ia akhirnya membawa kepada penangkapan seekor ular tedung selar sepanjang empat meter.

Tangkapan yang dilakukan oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) itu dibuat selepas menerima panggilan penduduk pada kira-kira pukul 5 petang.

Ular berkenaan berjaya ditangkap di sebuah kawasan ladang kelapa sawit dengan lokasinya hanya kira-kira empat meter daripada rumah seorang penduduk.

Pegawai JPAM Muar, Abdul Razak Salleh berkata, operasi bagi menangkap ular tedung selar itu membabitkan empat anggota JPAM termasuk beliau sendiri.

Jelasnya, tangkapan ular sepanjang enam meter itu adalah tangkapan terbesar pihaknya buat tahun ini dan ia berjaya dibuat selepas beberapa kali menerima aduan penduduk.

"Seorang penduduk di kawasan ini telah melihat kelibat ular itu dan membuat panggilan kepada JPAM untuk membantu menangkapnya.

"Kami terpaksa mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengepung kawasan itu sebelum berjaya menangkap ular berkenaan," katanya.

Katanya, operasi tersebut mengambil tempoh masa yang agak lama memandangkan ular itu bersembunyi di sebalik timbunan daun kelapa sawit.

"Kami bersyukur operasi ini berjalan dengan selamat tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini dan ular itu akhirnya dapat ditangkap," katanya.

Menurut beliau, orang ramai yang ingin mendapat bantuan pihak JPAM daerah Muar boleh menghubungi talian 06-9523688.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 JANUARI 2010

26 Januari 2010

PEMAKAIAN PERKABUNGAN DI JOHOR SUKARELA, BUKAN PAKSAAN

JOHOR BAHRU: Pemakaian pakaian perkabungan di kalangan rakyat Johor berikutan kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar pada Jumaat lalu, adalah secara sukarela dan tiada unsur paksaan, kata Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli.

Sehubungan itu, beliau menafikan sekeras-kerasnya khabar-khabar angin yang mengatakan mereka yang tidak memakai pakaian perkabungan akan dikenakan tindakan seperti denda atau ditangkap.

"Baginda (Sultan Johor Sultan Ibrahim) telah meminta saya untuk menyatakan bahawa pemakaian perkabungan itu adalah secara tulus ikhlas daripada rakyat dan tiada sebarang unsur-unsur paksaan.

"Pemakaian perkabungan itu adalah untuk menunjukkan taat setia dan kasih sayang rakyat kepada (Almarhum) baginda dan adalah dilakukan secara tulus ikhlas," katanya pada sidang media di sini, hari ini.


Beliau berkata, Sultan Ibrahim merasa terkilan dengan penyebaran khabar-khabar angin itu kerana Tuanku amat prihatin kepada keadaan rakyatnya dan tidak mahu menimbulkan sebarang kesusahan kepada mereka.

Abdul Rahim berkata, penyebaran khabar-khabar angin itu bertujuan untuk memburuk-burukkan Sultan Johor.

"Ia tidak masuk akal dan tidak benar (dakwaan tentang tindakan terhadap mereka yang tidak memakai pakaian perkabungan)," katanya.


Beliau berkata, pakaian perkabungan bagi lelaki Islam di Johor adalah songkok yang berlilit kain putih selebar 5.0 sm manakala bagi wanita Islam pula adalah dengan memakai tudung putih.

Bagi rakyat Johor yang bukan beragama Islam pula menurutnya, mereka boleh mengenakan lilitan kain hitam selebar 7.62 sm di lengan kiri atau memakai tali leher berwarna hitam.

Tempoh pemakaian perkabungan katanya, adalah selama tujuh hari bermula dari tarikh kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar pada Jumaat lalu.

Abdul Rahim turut menjelaskan bahawa penutupan pusat hiburan di Johor dan pembatalan permainan adalah hanya pada hari pemakaman Almarhum Sultan Iskandar pada Sabtu lalu.

Beliau juga berkata, gelaran Sultan Johor kini adalah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Di Pertuan Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim.

Bagi "royal consort", gelaran yang diperkenankan ketika ini adalah Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofia binti Almarhum Sultan Idris Shah.

Bagi Raja Muda Johor, beliau berkata, gelaran yang diperkenankan adalah Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim.

Mengulas tulisan di dalam sebuah blog yang didakwa menghina Almarhum Sultan Iskandar, beliau yang tidak membacanya menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan mengenainya.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, pihaknya telah menerima sebanyak 25 laporan polis daripada mereka yang marah dengan tulisan blog terbabit dan menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat serta mengheret pihak yang bertanggungjawab ke mahkamah. - Bernama

SUMBER: BERITA HARIAN, 26 JANUARI 2010

25 Januari 2010

PEMUDA UMNO LEDANG BUAT LAPORAN POLIS

Oleh Hai Rozzaman Jalal

Pemuda Umno Ledang di Balai Polis Tangkak

Pemuda Umno Ledang bersama Ketuanya, Zaidi Abd Majid (4 dari kanan) selepas membuat laporan polis di Balai Polis Tangkak.

TANGKAK: Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Ledang turut membuat laporan polis terhadap kelancangan seorang penulis blog menghina dan mencerca Almarhum Sultan Iskandar yang menimbulkan rasa kemarahan rakyat Johor.

Ketuanya, Zaidi Abd Majid berkata, walaupun penulis blog yang menggelarkan dirinya Aduka Taruna telah memohon maaf kepada pihak istana dan seluruh rakyat Johor di dalam blognya adukataruna.blogspot.com, namun Pemuda Ledang menyatakan kekesalannya terhadap penghinaan tersebut dan sukar untuk dimaafkan.

Katanya, permohonan maaf tersebut tidak akan meredakan kemarahan rakyat Johor dan pihak berkuasa perlu menghukum penulis blog tersebut di atas kelancangannya.

“Kenyataan penulis blog itu yang menghina Institusi Kesultanan Johor telah mendorong Pemuda Umno Ledang mendesak pihak berkuasa termasuk polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap individu tersebut termasuk menutup terus laman blog tersebut.

“Kami berharap tidak ada lagi mana-mana pihak yang memperlekehkan Institusi Kesultanan Johor dan ia wajar dipelihara selama-lamanya sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan,” katanya selepas membuat laporan polis bersama Ahli Jawatankuasanya kira-kira jam 5.30 petang tadi di Balai Polis Tangkak, di sini.

Katanya, Pemuda Ledang tidak berhasrat untuk mencetuskan kekacauan tetapi bagi mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak dengan sewenang-wenangnya mempertikaikan institusi raja di Malaysia.

Menurutnya, setiap rakyat seharusnya menghormati institusi raja kerana Raja dan Sultan merupakan ketua tertinggi dalam sesebuah negeri dan menjadi tanggungjawab rakyat memelihara institusi tersebut.

Beliau berharap individu tersebut mendapat hukuman yang sewajarnya sebagai pengajaran kepada pihak lain yang ingin mempertikai dan mencetuskan kekacauan terhadap keamanan dan keharmonian sesebuah negeri.

PASUKAN KHAS SIASAT BLOG HINA ALMARHUM SULTAN ISKANDAR

JOHOR BAHRU: Polis menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat blog yang dikatakan menghina Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail, yang mangkat kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata sebanyak 25 laporan polis diterima daripada pelbagai pihak di seluruh negeri ini yang dukacita terhadap penulisan blog http://adukataruna.blogspot.com itu.

"Kita akan cari dan heret mereka ke mahkamah," katanya sambil menegaskan kesalahan itu adalah sangat serius dan tidak dapat dimaafkan.

Mohd Mokhtar berkata, kes itu disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Hasutan 1948.

SUMBER: BERITA HARIAN, 25 JANUARI 2010

23 Januari 2010

TUANKU IBRAHIM ISMAIL DIMASYHURKAN SEBAGAI SULTAN JOHOR

TUNKU Ibrahim Ismail melafazkan Watikah Pemasyuran sebagai Sultan Johor yang baru berikutan kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar sambil diperhatikan oleh Tunku Bendahara, Tunku Abdul Majid (kiri) di Istana Besar, Johor Bahru, Johor, 23 Januari. - Utusan/RAJA JAAFAR ALI

MENTERI Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman (kanan) membacakan watikah pelantikan sultan kepada Tunku Ibrahim Ismail (tiga kiri) sebagai Sultan Johor yang baru ekoran kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar di Istana Besar, Johor Bahru, Johor, 23 Januari. - Utusan/RAJA JAAFAR ALI

JENAZAH Almarhum Sultan Iskandar diarak dengan menaiki pedati yang ditarik oleh askar Timbalan Setia Negeri dari Istana Besar ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah di Johor Bahru, Johor, 23 Januari. - Utusan/RAJA JAAFAR ALI



JOHOR BAHRU 23 Jan. - Tuanku Ibrahim Ismail, 52, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang kelima hari ini.

Istiadat pemasyhuran baginda diadakan di tangga Istana Besar, di sini pukul 1.40 petang.

Watikah pemasyhuran Tuanku Ibrahim Ismail dibacakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Pemasyhuran itu dilangsungkan sebelum jenazah ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail dibawa ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, di sini untuk istiadat pemakaman.

Tuanku Ibrahim Ismail menggantikan ayahanda baginda yang mangkat semalam pada usia 77 tahun setelah memerintah negeri ini hampir tiga dekad bermula 11 Mei 1981. – Utusan


RAKYAT JOHOR ZIARAH JENAZAH SULTAN ISKANDAR MULAI PAGI INI
23/01/2010 11:01am

JOHOR BAHRU 23 Jan. – Jenazah Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail yang akan disemayam di Dewan Besar, Istana Besar, di sini boleh diziarahi segenap lapisan rakyat Johor mulai pagi ini.

Menteri Besar Johor, yang mengumumkan kemangkatan Almarhum baginda Sultan Johor, malam tadi, berkata, waktu yang dibenarkan kepada orang awam untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum adalah dari pukul 9 pagi hingga 10.30 pagi.

"Penghormatan terakhir oleh orang kenamaan pula adalah bermula dari pukul 11 pagi sehingga pukul 12.30 tengah hari,” katanya di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan.

Abdul Ghani berkata, jenazah Almarhum Sultan akan dibawa dari Istana Besar pada pukul 1.30 tengah hari untuk upacara pemakaman di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, di sini, pada pukul 2 petang. - Bernama

JENAZAH ALMARHUM SULTAN ISKANDAR SELAMAT DIMAKAMKAN
23/01/2010 6:18pm

JOHOR BAHRU 23 Jan. - Jenazah Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail selamat dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, di sini pukul 4.10 petang.

Almarhum Sultan Iskandar yang memerintah negeri Johor dari 11 Mei 1981 mangkat pukul 7.15 malam semalam di Hospital Pakar Puteri. Almarhum berusia 77 tahun. - Utusan


PAHANG TURUT BERKABUNG SEMPENA KEMANGKATAN SULTAN ISKANDAR
23/01/2010 9:17pm

KUANTAN 23 Jan. - Pahang turut mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari bermula hari ini bagi menghormati kemangkatan Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Safian Ismail berkata selama tempoh berkabung semua kegiatan berunsur hiburan dan keceriaan anjuran kerajaan negeri, jabatan dan agensi kerajaan tidak digalakkan selain bendera negeri perlu dikibarkan separuh tiang.

"Perkara berkenaan telah dimakumkan kepada semua ketua-ketua jabatan di negeri Pahang. Pihak swasta turut digalakkan mengikuti arahan berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu perlawanan bola sepak Liga Super antara Pahang dengan Negeri Sembilan yang dijadual malam ini di Stadium Darul Makmur turut ditangguh.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang, Ahmad Nazri Mat Noor berkata, perlawanan ditunda kepada 9 Feb. - Bernama


SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 23 JANUARI 2010

JENAZAH SULTAN ISKANDAR SELAMAT DISEMADIKAN

SULTANAH Johor, Sultanah Zanariah (gambar kiri) dan anakandanya yang juga Sultan Johor yang baru dimasyhurkan, Sultan Ibrahim Ismail menyiram air mawar di pusara Almarhum Sultan Iskandar di Makam Diraja Mahmodiah, Johor Bahru, hari ini. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

JOHOR BAHRU: Jenazah Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail selamat disemadikan di sebelah makam ayahanda baginda dalam satu istiadat pemakaman diraja di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, di sini, hari ini.

Istiadat itu disempurnakan dengan siraman air mawar dan taburan bunga rampai selepas bacaan doa dan talkin oleh Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Seri Mohd Nooh Gadot.

Terdahulu, Tunku Bendahara Tunku Abdul Majid dan cucunda-cucunda Almarhum, termasuk Raja Muda Tunku Ismail Ibrahim bersama-sama menimbus tanah dalam liang lahad makam baginda.

Istiadat itu disaksikan Sultan Johor, Tunku Ibrahim Ismail, Sultanah Zarith Sofiah, Sultanah Zanariah serta anakanda dan cucunda selain anggota kerabat diraja Johor yang lain.

Turut berangkat Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu''adzam Shah, Sultan Perak Sultan Azlah Shah, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Muhriz, dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Khalil Yaakob, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Ahmadshah Abdullah dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang turut menghadiri upacara pemakaman itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Osman serta beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, turut hadir.

Sebelum itu, semasa upacara perangkatan jenazah, sebuah pedati khas digunakan untuk membawa jenazah Almarhum Sultan Iskandar yang turut dinaiki Tunku Abdul Majid dan Tunku Ismail Ibrahim, dengan diiringi anggota kerabat diraja Johor dan anggota pasukan Timbalan Setia Negeri Johor dari Istana Besar ke makam diraja.

Upacara perangkatan itu sejauh 3 kilometer dari Istana Besar diiringi dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Selain itu, sebanyak 77 das tembakan meriam disempurnakan oleh 41 Bateri Istiadat Kem Sungai Buloh, sebagai menandakan usia Almarhum semasa kemangkatannya.

Ribuan rakyat jelata turut beratur di sepanjang jalan dari Istana Besar ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah bagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum.

Sultan Iskandar mangkat di Hospital Pakar Puteri di sini pada 7.15 malam tadi selepas dimasukkan ke hospital berkenaan kerana gering. - Bernama

SUMBER: BERITA HARIAN (MUTAKHIR), 23 JANUARI 2010

TUNKU IBRAHIM DIMASYHUR SEBAGAI SULTAN JOHOR

TUNKU Ibrahim Ismail menandatangani watikah pemasyhuran baginda sebagai Sultan Johor di Istana Besar, Johor Bahru, jam 10.21 pagi ini sambil diiringi Tunku Bendahara, Tunku Abdul Majid dan Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim (kiri). Gambar (bawah), baginda dilihat mengesat air mata selepas selesai menandatangani watikah itu. - Foto Zain Ahmed

JOHOR BAHRU: Tunku Ibrahim Ismail dimasyhurkan secara rasmi sebagai Sultan Johor dalam satu upacara yang diketuai Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman di Istana Besar, jam 10.21 pagi ini.

TUNKU IBRAHIM DIMASYHUR SEBAGAI SULTAN JOHOR

JOHOR BAHRU: Tengku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Almarhum Sultan Iskandar dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang baru hari ini.

Pemasyhuran itu, berdasarkan Undang-Undang Tuboh Kerajaan Johor 1895, diumumkan secara rasmi oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman di Istana Besar Johor Bahru, 10.21 pagi.

“Berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895, disahkan bahawa waris Sultan, Tunku Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar dimasyhurkan sebagai Raja dan Sultan di bawah undang-undang yang sama,” katanya.

Sejurus itu, Tunku Ibrahim Ismail, 51, mengangkat sumpah sebagai Sultan Yang Dipertuan Jajahan Johor Darul Takzim dan segala takluknya.


Baginda mengaku akan memerintah dengan adil dan saksama serta bertimbang rasa kepada rakyat.

Tunku Ibrahim Ismail, yang berbaju Melayu putih, juga melafazkan sumpah bagi menghormati dan memelihara agama Islam dan adat istiadat Melayu dan berpegang teguh kepada Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 dan Undang-undang negeri Johor.

Istiadat angkat sumpah disaksikan Sultanah Zanariah, isteri baginda Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan semua anakanda serta adinda baginda.

Turut hadir, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadot, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta anggota Exco kerajaan negeri Johor.

Pemasyhuran Tunku Ibrahim adalah bagi mewarisi takhta Johor selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail pada jam 7.15 malam semalam di Hospital Pakar Puteri di sini.

Istiadat itu diadakan sebelum pemakaman ayahanda baginda di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah di sini.

Petang semalam, Tunku Ibrahim Ismail dilantik Pemangku Raja selepas Sultan Iskandar dimasukkan ke hospital itu kerana gering.

Tunku Ibrahim Ismail yang menikahi Raja Zarith Sofiah pada 1982 dikurniakan lima putera dan satu puteri, iaitu Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar, Tunku Amina, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Iman.

Diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu, putera sulung daripada 10 adik-beradik itu dilantik sebagai pewaris takhta Negeri Johor apabila ditabalkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981.

Baginda pernah dilantik Pemangku Raja pada 25 April 1984 semasa Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelapan.

Tunku Ibrahim menerima pendidikan awal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman Satu, Johor dan kemudian belajar di Trinity Grammar School, Australia pada 1968 hingga 1970 sebelum meneruskan pelajaran menengah di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB).

Baginda menerima pendidikan agama di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek, Johor Baharu.

Setelah tamat pengajian peringkat menengah, Tunku Mahkota dihantar oleh ayahanda baginda ke Pusat Latihan Darat (Pulada), Kota Tinggi untuk menerima latihan asas ketenteraan selama tiga bulan.

Bagi melengkapkan lagi pengetahuan baginda dalam asas ketenteraan, Tunku Ibrahim Ismail yang segak itu dihantar ke Fort Bening, Georgia, Amerika Syarikat untuk mengikuti Kursus Asas Pegawai-Pegawai Infantri dan Udara.

Baginda kemudiannya mengikuti latihan lanjut ketenteraan dalam Kursus Pegawai-Pegawai Pasukan Khas di Fort Bragg, Amerika. Sekembalinya ke tanah air, Tunku Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Komander, Angkatan Tentera Johor.

Baginda menghadiri kursus latihan helikopter di Pangkalan Tentera Kluang dan menerima sayap selain menamatkan tugas latihan selama dua bulan dalam Tentera Laut Diraja Malaysia.

Tunku Ibrahim juga sangat berminat dalam bidang sukan, khususnya polo yang telah membawa baginda menyertai kejohanan sehingga ke peringkat antarabangsa, termasuk Singapura, Manila dan Brunei.

Turut menjadi kegemaran baginda ialah sukan tenis, luncur layar, menembak dan memandu kereta. - Bernama

TUN DR MAHATHIR, ISTERI BERI PENGHORMATAN TERAKHIR

JOHOR BAHRU: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah tiba di Istana Besar, jam 11.04 pagi tadi bagi memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Iskandar.

Beliau tiba dengan memakai baju Melayu putih lengkap bersamping hitam manakala isterinya berbaju kurung dan tudung serba putih.

PM SINGAPURA ANTARA KENAMAAN LUAR NEGARA BERI PENGHORMATAN

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong tiba di Istana Besar di sini, sebentar tadi, menjadi antara orang kenamaan luar negara yang pertama beri penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Johor.

PM, ISTERI BERI PENGHORMATAN TERAKHIR

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Istana Besar di sini jam 11.27 pagi untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Iskandar.

KERABAT DIRAJA, KENAMAAN, ORANG RAMAI ZIARAH JENAZAH

JOHOR BAHRU: Kerabat diraja, orang kenamaan dan rakyat jelata daripada segenap lapisan masyarakat dan kaum membanjiri pekarangan Istana Besar di sini untuk menziarahi jenazah Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail, yang mangkat semalam, bagi memberi penghormatan terakhir mereka.

Rakyat yang berpakaian rasmi dilihat mulai membanjiri pekarangan Istana Besar seawal 9 pagi, sebelum dibenarkan memasuki Dewan Besar istana berkenaan yang menempatkan jenazah almarhum 50 minit kemudian.

Sultan Johor Tunku Ibrahim Ismail, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan anggota kerabat diraja Johor, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman serta pembesar-pembesar negeri turut berada di dewan itu.

Orang ramai yang berpakaian rasmi dibenarkan membuat satu pusingan mengelilingi keranda yang menempatkan jenazah yang dilitupi bendera Sultan Johor sambil membacakan doa mengikut kepercayaan agama masing-masing.


Mahkota dan keris Almarhum pula ditempatkan di atas keranda, selain darjah-darjah kebesaran dipamerkan di sekeliling keranda berkenaan.

Tempoh ziarah jenazah Almarhum bagi orang ramai ditetapkan mulai 10 pagi sehingga 11 pagi, manakala tempoh untuk orang kenamaan pula ditetapkan mulai 11 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Antara yang berangkat hadir ialah Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu''adzam Shah, Sultan Selangor Sultan Sharaffudin Idris Shah dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Ahmadshah Abdullah dan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Khalil Yaakob juga menziarah jenazah baginda.

Upacara memberi penghormatan terakhir itu disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia.

Selain itu, halaman depan akhbar arus perdana Berita Harian dan Utusan Malaysia hari ini ditampilkan dengan warna hitam putih sebagai menghormati kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar. - Bernama

SUMBER: BERITA HARIAN, 23 JANUARI 2010

LEBIH 10,000 RAKYAT JELATA BANJIRI ISTANA BESAR BERI PENGHORMATAN TERAKHIR

BENDERA di Istana Besar, Johor Bahru dikibar separuh tiang berikutan kemangkatan Sultan Johor semalam. Orang ramai (gambar bawah) beratur menunggu giliran untuk menziarahi jenazah Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail sejak awal pagi tadi. - Foto Rosdan Wahid dan Hasan Ismail

ORANG ramai berbaris memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Armarhum Sultan Ismail di Istana Besar, Johor Bahru, manakala (gambar bawah) Anggota Timbalan Setia Negeri memberi tabik hormat di hadapan jenazah, pagi tadi. - Foto Rosdan Wahid.

oleh Zef Othman

JOHOR BAHRU: Lebih 10,000 rakyat jelata membanjiri Istana Besar di sini, sejak jam 9 pagi tadi untuk memberi penghormatan terakhir kepada Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail yang mangkat, malam tadi.

Pemangku Raja, Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail dan Raja Zarith Sofea berangkat tiba di Istana Besar jam 9.15 pagi.

Tunku Ibrahim bersama kerabat diraja kemudian bersama membawa masuk jenazah Al-Marhum Sultan Iskandar ke dalam istana jam 9.30 pagi untuk memboleh rakyat jelata memberi penghormatan terakhir sehingga jam 10.30 pagi ini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman yang mengumumkan kemangkatan Almarhum baginda Sultan Johor, malam tadi, berkata waktu yang dibenarkan kepada orang awam untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum adalah dari jam 9 pagi hingga 10.30 pagi.


"Penghormatan terakhir oleh orang kenamaan pula adalah bermula dari 11 pagi sehingga 12.30 tengah hari," katanya.

Abdul Ghani berkata jenazah Almarhum Sultan akan dibawa dari Istana Besar 1.30 tengah hari untuk upacara pemakaman di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, di sini, jam 2 petang.

Mengenai peraturan berkabung, beliau berkata orang-orang Melayu perlu memakai tanda perkabungan kain putih selilit saja selebar dua inci pada songkok.

Bagi lain bangsa dan agama, Abdul Ghani berkata mereka perlu memakai selilit kain hitam selebar tiga inci di lengan kiri dan bertali leher warna hitam.

Katanya, bagi yang memakai uniform dan memakai uniform pada majlis tertentu, mereka perlu melilit kain hitam selebar tiga inci di lengan kiri.

"Bagi perempuan Melayu, mereka hendaklah memakai tudung kepala warna putih manakala bagi orang perempuan lain bangsa dan agama, mereka perlu memakai selilit kain hitam selebar tiga inci di lengan kiri," katanya. Abdul Ghani berkata bagi upacara pemakaman pula, lelaki Melayu perlu memakai baju Melayu teluk belanga serba hitam dan lilitan kain putih di songkok hitam manakala lelaki bukan Melayu perlu memakai lounge suit warna hitam, tali leher hitam dan selilit kain hitam tiga inci di lengan kiri.

Beliau berkata bagi yang memakai uniform, mereka perlu melilit kain putih berukuran dua inci di songkok. Segala darjah dan pingat juga hendaklah dipakai, katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN (MUTAKHIR), 23 JANUARI 2010

SULTAN JOHOR MANGKAT

SULTAN Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail mangkat jam 7.15 malam tadi selepas dimasukkan ke Hospital Pakar Puteri di Johor Bahru kerana gering. Baginda berusia 77 tahun dan memerintah Johor hampir tiga dekad. - Foto NSTP

JENAZAH Sultan Iskandar dibawa ke Istana Besar dari Hospital Pakar Puteri, semalam.

Rakyat berkabung 7 hari; Semua majlis rasmi dibatal; Pemasyhuran sultan baru hari ini

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, 77, yang memerintah Johor hampir tiga dekad, mangkat pada jam 7.15 malam tadi selepas dimasukkan ke Hospital Pakar Puteri di sini kerana gering.

Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di Pejabat Kerajaan Negeri, Bukit Timbalan, kira-kira jam 11.30 malam tadi.

Baginda yang meninggalkan Sultanah Zanariah serta 10 putera dan puteri, akan dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, kira-kira jam 2 petang ini.


Sultan Iskandar, yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Bahru pada jam 11.30 pagi Jumaat, 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981. Tiga tahun kemudian pada 15 November 1984, baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.

Terdahulu, di Istana Besar di sini, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad, mengumumkan pelantikan Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail sebagai Pemangku Raja.

Pelantikan itu dibuat mengikut Fasal 9(1)(b) dan 9(2) Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895.

Abdul Ghani pada sidang akhbarnya, berkata pemasyhuran Sultan Johor yang baru akan dilaksanakan di Istana Besar Johor pada jam 1 tengah hari di Istana Besar sebelum upacara pemakaman jenazah Almarhum Sultan Iskandar.

Beliau turut mengumumkan hari ini cuti umum untuk seluruh negeri Johor dan semua majlis rasmi termasuk hiburan serta keramaian dibatalkan, manakala tempoh berkabung ialah selama tujuh hari dengan semua bendera negeri dikibarkan separuh tiang bermula jam 6 pagi hingga 6 petang.

Abdul Ghani berkata, baginda dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kira-kira jam 5 petang kelmarin dan mangkat pada jam 7.15 malam tadi.

Katanya, manakala Istiadat pemakaman Diraja akan bermula pada jam 9 pagi ini di Dewan Besar Istana Besar di sini, dengan orang ramai boleh menziarahi jenazah sehingga jam 10.30 pagi.

Menteri Besar berkata, mulai 11 pagi hingga 12 tengah hari pula adalah penghormatan terakhir untuk orang kenamaan dan kerabat Diraja.

Beliau berkata, jenazah Almarhum akan dibawa dari Istana Besar pada jam 1.30 tengah hari sebelum disembahyangkan di Makam Diraja, Bukit Mahmoodiah pada 2 petang.

Abdul Ghani yang baru pulang dari mengikuti lawatan Perdana Menteri di India, berkata semua masjid dan surau dikehendaki mengadakan majlis tahlil selama tujuh hari se lepas istiadat pemakaman jenazah.

"Tempoh berkabung bagi kerabat Diraja ialah 40 hari manakala rakyat biasa selama tujuh hari," katanya.

Peraturan berkabung bagi lelaki Melayu ialah bersongkok lilit putih dua inci manakala bagi bangsa lain ialah kain hitam lebar tiga inci di lengan kiri.

"Bagi upacara pemakaman, lelaki Melayu berbaju Melayu teluk belanga serba hitam dan lilitan kain putih di songkok hitam dan bagi lelaki bukan Melayu, sut hitam bertali leher dan kain hitam tiga inci di lengan kiri," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 23 JANUARI 2010

SULTAN JOHOR MANGKAT


Jenazah Almarhum Sultan Iskandar dibawa masuk ke kenderaan di Hospital Pakar Puteri untuk dibawa ke Istana Besar, Johor Bahru, sambil diperhatikan oleh kaum kerabat dan petugas istana, malam tadi. – utusan/Raja Jaafar Raja Ali

JOHOR BAHRU 22 Jan. – Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, mangkat malam ini selepas memerintah Johor hampir tiga dekad.

Baginda berusia 77 tahun.

Almarhum mangkat pada pukul 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri di sini selepas dimasukkan ke hospital itu semalam kerana gering.

Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di sini pada pukul 11.20 malam.

Baginda meninggalkan Sultanah Zanariah serta 10 orang putera dan puteri.

Sultan Iskandar, yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Bahru pada 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981.

Tiga tahun kemudian pada 15 November 1984 baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.

Petang ini, putera sulung baginda, Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail dimasyhurkan Pemangku Raja dan istiadat mengangkat sumpah diadakan di Istana Besar Johor.

Berita mengenai kegeringan Sultan Iskandar diumumkan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad pada pukul 5 petang.

Almarhum merupakan putera ketiga Almarhum Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim dan cicinda kepada Bapa Johor Moden, Almarhum Sultan Abu Bakar.

Sultan Iskandar, yang merupakan Sultan Johor keempat dalam sejarah Johor moden, menerima pendidikan awal di Johor Bahru, sebelum melanjutkan pelajaran ke Australia dan United Kingdom.

Baginda yang merupakan Kolonel Yang Dipertua, Rejimen Perkhidmatan Khas Malaysia (Komando), sering kelihatan memakai uniform tentera pada upacara rasmi kerana minatnya dalam bidang ketenteraan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 23 JANUARI 2010

PENGUMUMAN KEMANGKATAN

MENTERI Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman (kanan) bersama Datuk Abdul Rahim Rahin pada sidang media mengumumkan kemangkatan Sultan Johor, Sultan Iskandar AlHaj di Bilik Gerakan Tun Abdul Razak, Bukit Timbalan, malam tadi. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

Innalillahi Wainnalillahi Rajiun


Adalah dengan sangat kedukaan dan kemasyghulan dilafazkan iaitu Duli Yang Maha Mulia Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim. Sultan Johor yang amat dihormati dan dikasihi telah mangkat, berpindah daripada alam fana kealam akhirat yang baka pada jam 7.15 malam hari Jumaat tarikh 22 Januari 2010 bersamaan dengan 6 Safar 1431H di Hospital Pakart Puteri, Johor Bahru.
Oleh itu ketahuilah bahawa dengan titah perintah Duli Yang Amat Mulia Tunku Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar Pemangku Raja adalah ditentukan perkabungan kerana kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, iaitu mulai hari ini 22 Januari 2010 seperti di bawah ini:

(1) Bendera Negeri diturunkan separuh tiang dan hari berikutnya dinaikkan separuh tiang dari jam 6.00 pagi hingga 6.00 petang dan sedimikian selama 7 hari dari tarikh dimakam Jenazah Al-Marhum Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.

(2) Segala Bangunan-Bangunan Kerajaan hendaklah dinaikkan Bendera Negeri separuh tiang bagaimana waktu tersebut dalam (1) di atas dan demikian selama 7 hari daripada tarikh dimakamkan Jenazah Al-Marhum Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.

(3) Segala bentuk hiburan dan permainan hendaklah dibatalkan pada siang dan malam tersebut pada hari memakamkan Jenazah Al-Marhum Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.

(4) Semua masjid-masjid dan surau surau-surau di dalam Negeri Johor hendaklah mengadakan Majlis Tahlil dan Doa ke atas roh Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Tuanku itu selepas Fardhu Maghrib selama tujuh (7) hari selepas daripada dimakamkan Jenazah Al-Marhum Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.

(5) Rakyat-rakyat dan penduduk negeri ini hendaklah berkabung dari tarikh ini dan kemudian daripada dimakamkan Jenazah Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia itu selama tujuh (7) hari.

PERATURAN BERKABUNG

(a) Bagi orang-orang Melayu hendaklah memakai tanda perkabungan kain putih berlilit selilit sahaja, selebar 2 inci pada songkok.

(b) Bagi lain-lain bangsa dan agama, memakai selilit kain hitam lebarnya 3 inci di lengan kiri dan bertali leher warna hitam.

(c) Bagi mereka-mereka yang berhak memakai uniform dan pada majlis yang tertentu, selilit kain hitam lebarnya 3 inci di lengan kiri.

(d) Bagi perempuan Melayu, hendaklah memakai tudung kepala warna putih.

(e) Bagi orang-orang perempuan lain bangsa atau agama, memakai selilit kain hitam lebarnya 3 inci di lengan kiri.

Ketahuilah juga bahawa Jenazah Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, akan disemayamkan di Dewan Besar, Istana Besar,Johor Bahru hari esok di mana rakyat dan orang-orang awam bolehlah mengunjung ziarah bagaimana peraturan dan waktu yang disebutkan di bawah ini:

(a) Mulai pukul 9.00 pagi hingga 10.30 pagi - Untuk orang awam

(b) Mulai pukul 11.00 pagi hingga 12.30 tengah hari - Penghormatan terakhir oleh orang-orang kenamaan

Ketahuilah juga bahawa Jenazah Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, akan dimakamkan di dalam Makam DiRaja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru pada hari esok pukul 2.00 petang.

Perangkatan Jenazah itu akan bermula daripada Istana Besar pada pukul 1.30 petang.

PAKAIAN DI UPACARA PEMAKAMAN

(a) Uniform Istiadat yang berhak. Lilitan kain putih 2 inci di songkok.

(b) Lelaki Melayu- Baju Melayu Teluk Belanga serba hitam, berkabung lilitan kain putih di songkok hitam.

(c) Lelaki Bukan Melayu- Lounge Suit warna hitam, tali leher hitam, selilit kain hitam 3 inci di lengan kiri.

(d) Segala Darjah-Darjah dan Pingat-pingat hendaklah dipakai.

Semoga dicucuri rahmat yang berlebih-lebihan ke atas Roh Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan itu.

DATO’ HAJI ABDUL GHANI BIN OTHMAN
Menteri Besar Johor

22 Januari 2010

SULTAN JOHOR MANGKAT






JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Iskandar Al-Marhum Sultan Ismail mangkat di Hospital Pakar Puteri, jam 7.15 malam tadi.

Kemangkatan baginda diumumkan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman pada sidang akhbar, sebentar tadi.

Terdahulu, petang tadi Tengku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dilantik Pemangku Raja.

TUNKU IBRAHIM PEWARIS TAKHTA BERJIWA RAKYAT

TENGKU Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar dilantik sebagai Pemangku Raja mulai hari ini. Pengumuman dibuat Setiausaha Jemaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, berikutan kegeringan Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Al-Marhum Sultan Ismail. - Foto NSTP


KUALA LUMPUR:
Tunku Ibrahim Ismail ibni Sultan Iskandar yang dilantik sebagai Pemangku Raja Johor hari ini, adalah seorang pewaris takhta yang mempunyai banyak keistimewaan.


Mewarisi sifat prihatin ayahanda baginda, putera sulung Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail, itu bukan hanya mempunyai latar belakang akademik dan pencapaian membanggakan tetapi baginda juga cukup disenangi kerana keperibadian yang menawan hati rakyat.

Mesra disapa sebagai TMJ (Tengku Mahkota Johor), Tunku Ibrahim, 51, cukup sinonim dengan Program Kembara Mahkota Johor, aktiviti berteraskan kerja-kerja sosial yang diilhamkan baginda sejak 2001.

Konvoi motosikal berkuasa tinggi itu yang dijadikan acara tahunan, membawa baginda dan rombongan pengiringnya terdiri daripada Menteri Besar dan pegawai negeri lain ke semua lapan daerah di Johor yang menyaksikan Tunku Ibrahim dan rombongan melaksanakan pelbagai projek kebajikan sepanjang laluan konvoi.


Sikap prihatin dan kesungguhan baginda untuk turun padang bagi melihat sendiri kehidupan dan menyelami susah senang masyarakat membina kredibiliti baginda sebagai pewaris takhta yang mesra rakyat.

Semasa kembara pertamanya pada 2001, Tunku Ibrahim tidak kekok untuk mendokong dan mendodoikan seorang bayi yang terlentuk di bahu baginda.

Ketika melawat Kampung Temiang di Muar, baginda sempat menjamah ubi rebus yang menjadi makanan rakyat dengan begitu berselera serta memuji pembuat sambal ubi rebus, iaitu seorang nenek yang terharu dengan pujian Tunku Mahkota Johor.

Kesungguhan baginda untuk merasai kehidupan seharian rakyat jelata di situ jelas terserlah apabila pada satu ketika baginda meneguk air tebu dalam bungkusan plastik yang dihulurkan oleh seorang penduduk.

Tidak bersendirian, aktiviti turun padang itu memecah tembok pemisah antara istana Johor dan rakyat apabila Tunku Ibrahim turut membabitkan isteri, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, dan putera-puteri baginda dalam ekspedisi itu.

Tunku Ibrahim yang menikahi Raja Zarith Sofiah pada 1982 dikurniakan lima putera dan satu puteri, iaitu Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar, Tunku Amina, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Iman.

Diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu, putera sulung daripada 10 adik-beradik itu dilantik sebagai pewaris takhta Negeri Johor apabila ditabalkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981.

Baginda pernah dilantik sebagai Pemangku Raja pada 25 April 1984 semasa Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelapan.

Tunku Ibrahim menerima pendidikan awal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman Satu, Johor, dan kemudian belajar di Trinity Grammar School, Australia, pada 1968 hingga 1970 sebelum meneruskan pelajaran menengah di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB).

Pewaris takhta itu menerima pendidikan agama di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek, Johor Baharu.

Setelah tamat pengajian peringkat menengah, Tunku Mahkota dihantar oleh ayahanda baginda ke Pusat Latihan Darat (Pulada), Kota Tinggi untuk menerima latihan asas ketenteraan selama tiga bulan.

Bagi melengkapkan lagi pengetahuan baginda dalam asas ketenteraan, Tunku Ibrahim yang segak itu dihantar ke Fort Bening, Georgia, Amerika Syarikat untuk mengikuti Kursus Asas Pegawai-Pegawai Infantri dan Udara.

Baginda kemudiannya mengikuti latihan lanjut ketenteraan dalam Kursus Pegawai-Pegawai Pasukan Khas di Fort Bragg, Amerika.

Sekembalinya baginda ke tanah air, Tunku Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Komander, Angkatan Tentera Johor.

Baginda menghadiri kursus latihan helikopter di Pangkalan Tentera Kluang dan menerima sayap selain menamatkan tugas latihan selama dua bulan dalam Tentera Laut Diraja Malaysia.

Tunku Ibrahim juga sangat berminat dalam bidang sukan, khususnya polo yang telah membawa baginda menyertai kejohanan sehingga ke peringkat antarabangsa, termasuk Singapura, Manila dan Brunei.

Turut menjadi kegemaran baginda ialah sukan tenis, luncur layar, menembak dan memandu kereta. - Bernama

SUMBER: BERITA HARIAN, 22 JANUARI 2010

TENGKU MAHKOTA JOHOR ANGKAT SUMPAH PEMANGKU RAJA

JOHOR BAHRU: Tengku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail mengangkat sumpah sebagai Pemangku Raja selepas dilantik Jumaah Majlis Diraja Johor bagi menjalankan tugas Raja dalam satu majlis di Istana Besar, di sini petang tadi.

Pelantikan berkenaan disaksikan Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim dan Tunku Bendahara Johor, Tunku Abdul Majid berikutan kegeringan Sultan Johor, Sultan Iskandar yang dimasukkan ke Hospital Pakar Puteri, di sini.

Dalam majlis berlangsung selama 10 minit bermula jam 5.10 petang itu, Tunku Ibrahim yang kelihatan sedih sepanjang upacara dan sesekali mengesat mata itu mengangkat sumpah sebelum menandatangani watikah pelantikan sebagai Pemangku Raja.

Tunku Ibrahim ketika mengangkat sumpah pada majlis itu berjanji bahawa Baginda akan memerintah dengan saksama dan bertimbangrasa kepada penduduk dan rakyat negeri ini

"Selain itu, saya bersumpah akan memelihara dan menghormati agama Islam dan adat istiadat Melayu dan berpegang kepada undang-undang tubuh kerajaan negeri Johor. Barang disokong Allah akan saya," titahnya.

Turut dihadir di majlis itu ialah barisan exco kerajaan negeri diketuai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Ahmad Zahri Jamil dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Ali Hassan.

SUMBER: BERITA HARIAN, 22 JANUARI 2010

SULTAN JOHOR DIMASUKKAN KE HOSPITAL KERANA GERING

JOHOR BAHRU: Berikut kenyataan rasmi Setiausaha Jemaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli:

Jemaah Majlis Diraja Johor memaklumkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar, Sultan Yang di-Pertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor Darul Takzim telah dimasukkan ke Hospital Pakar Puteri Johor Bahru pada 22 Januari 2010 kerana kegeringan.

Dengan itu, Jemaah Majlis Diraja Johor membuat keputusan di bawah pasal 9 (1)(B) dan 9 (2) Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1995.

Setelah menerima laporan kesihatan daripada pakar-pakar perubatan, bersetuju melantik Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar, Tengku Mahkota Johor sebagai Pemangku Raja pada hari ini, 22 Januari 2010 bagi menjalankan tugas raja semasa kegeringan Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar.

Rakyat diminta berdoa supaya keadaan baginda sembuh sebagaimana sedia kala.

SUMBER: BERITA HARIAN, 22 JANUARI 2010 : 5.22 PM

JAMBATAN KELIMA DIBINA

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

KUNDANG ULU: Jambatan kelima bernilai RM20 juta yang menghubungkan pekan Kundang Ulu dan Kampung Liang Batu, dekat sini, akan dibina bagi memberi kemudahan kepada penduduk termasuk pelajar sekolah yang sebelum ini berulang alik dengan menggunakan perkhidmatan perahu penambang sejak tahun 1960-an lagi.

Rancangan pembinaan jambatan itu yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, dijangka dibina dalam masa terdekat ini.

Pada masa ini terdapat empat jambatan yang merentangi Sungai Muar menghubungkan daerah Muar dan Ledang iaitu dua jambatan di kawasan bandar, jambatan Gersik dan jambatan Bukit Kepong.

Seorang penduduk, Rosli Jelani, 54, menyambut baik rancangan pembinaan jambatan baru itu kerana ia memberi kemudahan kepada penduduk kawasan itu termasuk pelajar dan pekebun yang perlu menggunakan bot penampang.

Katanya, sebelum ini mereka bergantung sepenuhnya kepada bot dengan kadar tambang 50 sen seorang, manakala RM1 bagi mereka yang menunggang motosikal dan 40 sen bagi pelajar sekolah untuk menyeberangi sungai sejauh kira-kira 60 meter.

“Setiap hari pelajar sekolah menengah daripada sekitar Kampung Liang Batu perlu menyeberangi sungai untuk ke sekolah, selain itu pekebun di kedua-dua kawasan juga menggunakan bot penambang untuk ke kebun masing-masing," katanya.

Katanya, penduduk tiada pilihan lain kecuali menggunakan bot penambang itu bagi kemudahan mereka berulang alik kerana laluan darat mengambil masa lebih sejam.

Penduduk Tam Bon Diong, 72, berkata perkhidmatan bot penambang itu sudah digunakan sejak lebih 50 tahun lalu lagi dan sudah sampai masanya ia ditukar kepada jambatan bagi memberi kemudahan kepada penduduk kampung.

Katanya, walaupun tempoh dan jarak sungai yang dekat dan hanya mengambil masa beberapa minit saja, namun ia tetap membahayakan terutama kepada penduduk dan pelajar yang tidak menggunakan jaket keselamatan.

“Sungai Muar dikenali mempunyai arus yang deras dan dalam dan saya bimbang jika berlaku kejadian tidak diingini kerana biasanya penumpang bot penampang tidak memakai jaket keselamatan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pembinaan jambatan Kundang Ulu-Liang Batu itu dapat dipercepatkan bagi memberi kemudahan kepada penduduk kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Serampang, Tahir Taat, berkata jambatan baru itu dijangka memberi kemudahan kepada kira-kira 10,000 penduduk di sekitar tebing Sungai Muar terutama kawasan sekitar Kampung Liang Batu dan pekan Kundang Ulu.

Katanya, sebelum ini katanya, penduduk dua kawasan itu dipisahkan oleh sungai sehingga menyebabkan mereka terpaksa menggunakan bot atau sampan bagi memudahkan berulang alik kerana laluan darat akan mengambil masa lebih sejam iaitu perlu melalui pekan Bukit Kepong atau pekan Pagoh.

“Jambatan baru itu akan menghubungi pekan Kundang Ulu dan Kampung Liang Batu bagi kemudahan penduduk kampung sekitarnya yang dipisahkan oleh Sungai Muar, sekali gus dapat membangunkan lagi kawasan terbabit," katanya.

Katanya, selain pembinaan jambatan itu, pihaknya melalui Majlis Daerah Tangkak, merancang untuk menaik taraf kawasan tebing pekan Kundang Ulu dan Gersik bagi kemudahan penduduk termasuk pembinaan kawasan gerai, jeti terapung dan taman riadah.

SUMBER: BERITA HARIAN, 22 JANUARI 2010

PERBUATAN KHIANAT: 2 SURAU ALAMI KEBAKARAN KECIL

TIMBALAN Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman (kiri) melihat kesan kebakaran pada pintu masuk ruang solat wanita akibat perbuatan khianat di Surau Parit Beting, Jalan Salleh, Muar, Johor. - Utusan/ISHAK RAHMAD

KESAN kebakaran pada bahagian dalam Surau Silaturahim, Jalan Ismail Omar di Muar, Johor, yang disambar api akibat perbuatan khianat. - Utusan/ISHAK RAHMAD


MUAR 21 Jan. - Dua buah surau di bandar ini mengalami kebakaran kecil awal pagi ini dipercayai akibat perbuatan khianat.

Kejadian pertama berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi di Surau Silaturahim, Jalan Ismail Omar, manakala kejadian kedua di Surau Parit Beting di Jalan Salleh.

Berikutan jarak antara kedua-dua surau berkenaan kurang daripada 1 kilometer, polis percaya kedua-dua kebakaran berkenaan berlaku pada waktu hampir serentak dan dilakukan golongan yang sama.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima laporan polis mengenai kejadian kebakaran di Surau Silaturahim pada pukul 3.50 pagi.

"Kebakaran surau ini telah disedari oleh tiga lelaki yang sedang menaiki kereta melalui kawasan berkenaan kira-kira pukul 2.30 pagi.

"Mereka kemudian bertindak memadamkan kebakaran kecil tersebut dan atas nasihat anggota polis peronda yang ditemui, mereka membuat laporan di Balai Polis Muar," katanya pada sidang akhbar di sini petang ini.

Menurutnya, kebakaran di lokasi pertama itu melibatkan sebahagian daripada bingkai tingkap dan langsir yang terletak di ruang legar luar surau berkenaan.

"Siasatan awal mendapati adanya kesan cetusan api daripada simbahan minyak kerosin pada kebakaran di kawasan tingkap tersebut," katanya.

Di lokasi kedua pula, Jalaluddin memberitahu, pihaknya menerima laporan polis mengenai kejadian itu kira-kira 1.30 tengah hari tadi, namun kebakaran itu disedari lewat daripada waktu sebenar kejadian.

"Individu pertama yang menyedari kebakaran ini adalah seorang ustazah yang hendak masuk mengajar di kelas agama surau itu kira-kira pukul 11 pagi," katanya.

Kebakaran surau tersebut melibatkan bahagian pintu masuk ruang solat wanita dan antara yang musnah adalah sebahagian kecil karpet dan langsir.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 22 JANUARI 2010

PENDUDUK MUAR DIMINTA BERTENANG

Oleh Junita Mat Rasid

MUAR: Penduduk daerah ini diminta bertenang dan jangan mewujudkan spekulasi berhubung kejadian dua surau di Jalan Ismail dan Parit Beting, dekat sini, yang dibakar pihak tidak bertanggungjawab dalam kejadian awal pagi tadi.

Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim, berkata sebaliknya orang ramai perlu membiarkan pihak polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kedua-dua kejadian itu dan menahan mereka yang terbabit.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, sebarang andaian tidak tepat akan mencetuskan kesan sampingan, emosi dan perasaan tidak baik yang boleh mewujudkan suasana tidak tenteram.

"Saya harap perkara ini tidak berpanjangan dan semua diharap bertenang, jangan mewujudkan spekulasi dan pelbagai andaian. Jangan kita membayangkan kemungkinan itu dan ini (sebaliknya) kita kena ikut fakta dan tidak membuat andaian," katanya kepada pemberita selepas melawat Surau Kampung Parit Beting dan Surau Silaturrahim, Jalan Ismail, di sini.

Dalam kejadian awal pagi tadi itu, dua surau cuba dibakar dengan menggunakan minyak tanah menyebabkan berlaku kerosakan kecil membabitkan langsir, permaidani, cermin tingkap dan pintu.

Kejadian pertama di Surau Silaturahim disedari oleh tiga remaja yang dalam perjalanan pulang melalui surau itu kira-kira jam 2.30 pagi, manakala kejadian di Surau Kampung Parit Beting dipercayai turut berlaku dalam waktu sama tetapi hanya disedari kira-kira jam 11 pagi oleh seorang guru agama yang memasuki ruang solat wanita.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, pihaknya juga akan mengeluarkan kos bagi membaiki semua kerosakan di kedua-dua surau itu dibaiki segera selepas pihak berkuasa selesai menjalankan siasatan di tempat kejadian berkenaan.

"Secara peribadi saya rasa kesal perkara itu berlaku dan ia tidak seharusnya berlaku di negara ini dan lebih kesal lagi kerana ia berlaku di Muar. Saya tidak tahu apa motif mereka yang melakukannya tetapi saya berharap semua pihak mengambil langkah bagi mengelak ia berpanjangan," katanya.

Selain itu, katanya, beliau turut meminta pihak berkuasa untuk meningkatkan rondaan dengan dibantu oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Rondaan (SRS) di semua rumah ibadat di daerah ini termasuk surau, masjid, gereja, kuil dan tokong bagi membantu pihak berkuasa mengawasi keselamatan kawasan berkenaan.

Katanya, Pemuda Umno Bakri dan Muar juga sudah diminta untuk turut menjaga rumah ibadat di kawasan ini kerana ia menjadi sasaran mudah kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan perkara yang tidak diingini.

Razali berkata, semua pihak perlu memainkan tanggungjawab bagi membendung kejadian itu daripada berterusan kerana ia memberi kesan besar kepada keharmonian masyarakat keseluruhan.

SUMBER: BERITA HARIAN, 22 JANUARI 2010

DUA SURAU DI MUAR DIPERCAYAI DIBAKAR

UNIT penyiasatan kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat memeriksa bahagian Surau Silaturrahim di Jalan Ismail, Muar yang terbakar awal pagi tadi dipercayai akibat perbuatan khianat. (Gambar bawah) Serpihan kaca tingkap bertaburan di ruang solat jemaah wanita Surau Kampung Parit Beting, Jalan Salleh, Muar berikutan cubaan membakar awal pagi tadi. - Foto NSTP

Oleh Junita Mat Rasid

MUAR: Dua surau di bandar ini dipercayai dibakar dengan menggunakan minyak tanah dalam dua kejadian berasingan berlaku dalam jarak kira-kira dua kilometer dalam kejadian di Surau Silaturrahim, Jalan Ismail dan Surau Kampung Parit Beting, Jalan Salleh di sini, awal pagi tadi.

Bagaimanapun kedua-dua surau itu hanya mengalami kerosakan kecil membabitkan langsir, permaidani dan cermin, selain kesan terbakar di pintu surau.

Kejadian pertama di Surau Silaturahim disedari oleh tiga remaja yang dalam perjalanan pulang melalui surau itu kira-kira jam 2.30 pagi, manakala kejadian di Surau Kampung Parit Beting dipercayai turut berlaku dalam tempoh yang sama tetapi hanya disedari kira-kira jam 11 pagi oleh seorang guru agama yang memasuki ruang solat wanita.

Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata siasatan awal tidak menolak kedua-dua kebakaran itu dilakukan oleh pihak yang sama berikutan taktik yang sama dan berlaku di kawasan hanya terletak antara jarak kira-kira dua kilometer.

Katanya, pihak forensik yang menyiasat di kedua-dua tempat kejadian turut menemui kesan minyak tanah termasuk satu botol yang dipercayai digunakan untuk memulakan kebakaran di surau kedua.

“Siasatan awal mendapati suspek menyimbah minyak tanah sebelum menyalakan api pada bahagian tingkap surau pertama sehingga menyebabkan langsir sepanjang dua meter dan satu tingkap nako rosak, selain turut menyebabkan kesan hitam di dinding surau berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar selepas melawat tempat kejadian.

Jalaluddin berkata, dalam kejadian kedua, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 1.30 tengah hari selepas seorang guru agama menyedari kesan kebakaran di bahagian pintu kedua surau iaitu laluan masuk ke ruang solat wanita.

Beliau berkata, kebakaran itu menyebabkan kesan kebakaran permaidani, langsir dan pintu, selain tingkap yang pecah akibat dibaling dengan batu bata.

“Kejadian itu juga dipercayai berlaku awal pagi tetapi hanya disedari kira-kira jam 11 pagi dan siasatan awal kemudian turut menemui botol yang berisi minyak tanah berhampiran surau berkenaan," katanya.

Jalaluddin menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeksploitasikan kedua-dua kejadian itu dan tidak mengambil tindakan sendiri, sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan terperinci.

Katanya, pihaknya masih menunggu laporan forensik bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran berkenaan dan pada masa yang sama pihaknya sudah meningkatkan rondaan di semua kawasan rumah ibadat di negeri ini bagi mengelak kejadian yang sama berulang.

SUMBER: BERITA HARIAN 22 JANUARI 2010

21 Januari 2010

KEMPEN TANAM SPESIES POKOK NADIR DI MUAR


MISLAN Karmani (dua dari kanan) menyiram anak pokok delima di Felda Lenga, Muar, Johor, semalam.


MUAR 20 Jan. - Spesies pokok-pokok nadir seperti delima, jentik-jentik, sentul serta mata kucing mungkin pernah menjadi pemandangan biasa pada masa dahulu namun ia kini semakin pupus daripada penglihatan sehingga langsung tidak dikenali generasi muda.

Pokok-pokok tempatan yang dianggap ganjil itu bukan sahaja tidak boleh lagi didapati di kawasan bandar malah ia juga semakin 'hilang' di kawasan kampung.

Atas inisiatif memelihara khazanah alam itu, Pejabat Daerah Muar hari ini melancarkan Kempen Menanam Pokok-Pokok Nadir Bersepadu Peringkat daerah di Felda Lenga di sini.

Pegawai Daerah Muar, Mislan Karmani berkata, pihak Jabatan Pertanian daerah telah mengenal pasti lebih 100 spesies pokok nadir yang berpotensi untuk ditanam di setiap mukim di daerah ini.

Jelas beliau, usaha berkenaan diyakini dapat menjadi daya penarik aktiviti pelancongan di samping memberi pengetahuan kepada generasi muda mengenai jenis-jenis pokok tempatan di negara kita ini.

"Kami memberi galakan menerusi kempen ini kerana pokok-pokok nadir sudah semakin jarang dilihat dan mungkin sudah pupus tanpa kita ketahui.

"Majlis yang diadakan hari ini merupakan permulaan dan pihak pejabat daerah berharap setiap kampung di daerah ini dapat turut bersama menanam pokok nadir di kawasan masing-masing," katanya.

Pada majlis yang diadakan hari ini, Mislan menyempurnakan penanaman pokok nadir jenis delima serta belimbing buluh di kawasan pekarangan Felda Lenga di sini.

Menurut Mislan, antara pokok nadir yang diharap dapat diperluaskan kembali penanamannya termasuk mata kucing, jentik-jentik, lembe, sentul, redan, jambu botol serta jambu gelas.

"Lazimnya, buah-buahan daripada pokok ini menjadi sebahagian daripada pencuci mulut dan mempunyai khasiat yang tersendiri.

"Saya berpendapat adalah tidak mustahil sekiranya buah-buah pokok nadir ini dapat kita komersialkan pada masa akan datang," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 21 JANUARI 2010

20 Januari 2010

700 SERTAI MAJLIS MAAL HIJRAH

NIZAM menyampaikan ceramah kepada murid Sekolah Agama Bukit Gambir pada sambutan Maal hijrah sekolah itu.

HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

LEDANG: Seramai 700 murid sesi pagi dan petang Sekolah Agama Bukit Gambir (SABG) menyertai majlis sambutan Maal Hijrah peringkat sekolah itu sebagai memperingati erti sebenar hari berkenaan.

Guru Besarnya, Misnah Paimin, berkata program itu bertujuan untuk meraikan ketibaan tahun baru 1431 hijrah dan menjadi program tahunan dalam takwim setiap sekolah agama.

Katanya, sekolah itu yang mempunyai dua sesi mengadakan dua majlis berasingan iaitu di sebelah pagi dan petang yang dihadiri guru serta murid kedua-dua sesi.

Beliau berkata, sambutan itu diisi dengan ceramah agama yang menyentuh mengenai penghijrahan Rasulullah SAW serta peristiwa yang berlaku pada bulan Muharam yang disampaikan oleh Guru Penolong SABG, Ustaz Nizam Ali.

“Melalui ceramah agama yang disampaikan murid-murid dapat memahami serta menghayati tujuan diadakan sambutan Maal Hijrah serta dapat mengetahui peristiwa yang berlaku pada bulan Muharam.

“Mereka juga dapat mengaitkan peristiwa tersebut dengan pelajaran yang telah mereka pelajari selain melalui pembacaan kitab yang berkaitan,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Guru Penyelia Pagi SABG, Ferdausy Gufran serta dua orang bekas guru sekolah itu yang berpindah ke Sekolah Agama Sagil Kampung iaitu Saifudin Mohd Hayin dan Hasnah Muji yang diraikan pada majlis perpisahan.

Misnah berkata, bagi memperingati Hari Asyura yang jatuh pada 10 Muharam dalam kalendar Islam, pihak sekolah telah mengadakan gotong-royong memasak bubur asyura sebanyak enam periuk dan kemudian diagih-agihkan kepada murid-murid.

Katanya, bahan untuk menyediakan bubur asyura itu disumbangkan oleh ibu bapa melalui anak-anak mereka yang telah dibahagikan mengikut darjah di mana setiap darjah membawa bahan yang berbeza seperti ikan bilis, bawang, kentang dan kacang tanah.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 20 JANUARI 2010

18 Januari 2010

WARGA EMAS GIGIH AJAR ANAK JIRAN MENGAJI AL-QURAN

Sulipah (empat dari kanan) pada majlis Khatam al-Quran anak muridnya di rumahnya di Kampung Sungai Bilah, Bukit Gambir.
HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

BUKIT GAMBIR: Usia emas bukan penghalang bagi seorang ibu tunggal di Kampung Sungai Bilah, di sini untuk mencurahkan ilmu yang pernah dipelajari daripada seorang guru kepada anak-anak dan jiran di kampungnya.

Malah, beliau berpegang teguh kepada pesanan dan amanat gurunya supaya memberikan tunjuk ajar kepada orang lain apa yang pernah dipelajarinya selama tujuh tahun itu.

SULIPAH TAIB

Warga emas, Sulipah Taib, 70, berkata usaha beliau mendalami ilmu tentang bacaan al-Quran selama tujuh tahun tidak sia-sia apabila beliau mengajarnya pula kepada anak-anak serta jirannya.

Katanya, lebih sepuluh orang kanak-kanak berusia di antara 7 hingga 15 tahun datang ke rumahnya untuk belajar mengaji al-Quran setiap malam selepas solat Maghrib.

“Saya mengajar mereka bermula daripada buku iqrak untuk mengenal huruf kemudian kepada muqadam dan seterusnya al-Quran sehingga mereka khatam.

“Untuk memahirkan mereka membaca al-Quran dengan sebutan huruf dan tajwid yang betul memakan masa yang lama antara 2 – 3 tahun baru khatam,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan majlis Khatam Al-Quran dan menyambut Hari Asyura di rumahnya di Kampung Sungai Bilah, di sini.

Sulipah berkata majlis khatam al-Quran yang julung kali diadakan itu adalah untuk meraikan tiga orang anak muridnya iaitu Rabiatul Adawiyah Osman, Nadrah Osman dan Ainah Abdullah yang telah berjaya khatam mengaji al-Quran dengan bimbingannya.

Katanya, beliau amat terharu apabila ramai rakan serta penduduk kampung datang meraikan majlis yang diadakan itu sebagai tanda sokongan di atas usaha beliau mendidik anak-anak kampung mengaji al-Quran.

Menurutnya, antara yang hadir pada majlis itu, Ketua Wanita Umno Cawangan Sungai Bilah dalam bahagian Ledang, Tejah Husin; ahli Kumpulan Yasin Wanita Sungai Bilah; ahli Sahabat Amanah Ikhtiar Parit Jarum Laut serta rakan-rakan beliau dari Kampung Sungai Leban, Sungai Meriam dan Sungai Baru.

Beliau yang juga Pengerusi Tetap Wanita Umno Cawangan kampung itu, berkata walaupun usianya telah meningkat namun semangat untuk berbakti kepada masyarakat sentiasa ada dalam dirinya.

Katanya, melalui majlis seumpama itu hubungan silaturahim serta semangat kerjasama di antara beliau dengan anggota masyarakat sama ada di kampung itu mahupun kampung bersebelahan semakin erat.

“Saya memang suka mengadakan majlis keagamaan seperti ini kerana melaluinya kita dapat menyatukan masyarakat kampung dan dapat menyumbang bakti ilmu yang ada untuk anak bangsa sendiri.

“Tiada istilah jemu dalam mengajar kanak-kanak mengaji al-Quran kerana ia juga merupakan satu ibadat dan selagi Allah masih memberikan kesihatan saya akan terus memberikan bimbingan.” katanya.

Menyingkap sejarah bermulanya beliau bertekad untuk menjadi guru al-Quran apabila pada tahun 1970-an dia telah dipaksa menyertai pertandingan membaca berzanji dan telah mendapat johan dengan hadiahnya berupa senaskhah al-Quran.

Menurutnya, bermula dari situlah hatinya tergerak dan bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh mendalami ilmu bacaan al-Quran dan mengajarkannya pula kepada orang lain.

Beliau berharap anak cucunya akan menyambung usahanya itu serta mewarisi ilmu mengajar al-Quran untuk manfaat keluarga mereka sendiri ataupun membimbing orang lain yang memerlukannya.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 18 JANUARI 2010