PENGUNJUNG SETIA

12 Januari 2010

DUA SUSPEK TIGA KES SAMUN DIBURU


MOHD. JAIS SULIMAN

JASIN 11 Jan. - Polis sedang memburu dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya tiga kes samun wang tunai milik pengusaha susu getah di sini sejak dua bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Supritendan Che Suza Che Hitam berkata, salah seorang suspek dikenali sebagai Mohd. Jais Suliman, 33, yang beralamat terakhir di Kampung Melepang, Sagil, di Tangkak, Johor.

Menurut beliau, identiti suspek kedua yang diburu masih belum dikenal pasti tetapi dia dianggarkan berusia lewat 20-an.

"Siasatan awal mendapati, suspek pertama memiliki rekod jenayah samun dan mula bergiat aktif di Segamat, Gemencheh, Jementah, Alor Gajah dan Tangkak sejak empat tahun lalu.

"Modus operandi kedua-dua suspek ialah menyamun tauke susu getah yang membuka bangsal untuk membeli susu getah dari penoreh," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Menurut Che Suza, dalam kejadian terbaru di Simpang Bekoh di sini pada 1 Januari lalu, seorang pengusaha susu getah kerugian RM7,000 apabila wang tunai dibawanya untuk membeli getah daripada penoreh disamun kedua-dua suspek.

Menurut beliau, dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi itu, mangsa yang berusia 50 tahun membuka bangsal membeli susu getah sambil dibantu seorang pekerjanya.

"Tiba-tiba, mangsa didatangi dua lelaki menaiki motosikal. Pemboncengnya mengacukan sebilah parang ke leher mangsa sambil mengarahkan memberikan semua wang tunai.

"Akibat takut dicederakan, mangsa yang baru memulakan perniagaan jual-beli menyerahkan semua wang yang ada sebelum membuat laporan polis," tambahnya.

Menurutnya, suspek menggunakan motosikal jenis Honda EX5 berwarna biru gelap.

Susulan itu, katanya, polis meningkatkan rondaan di kira-kira 20 lokasi yang mengadakan kegiatan jual beli susu getah di daerah ini bagi menangkap suspek.

"Suspek menjadikan tauke susu getah sebagai sasaran kerana lebih mudah disebabkan mereka beroperasi di kawasan terpencil tetapi memiliki wang yang banyak," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di talian 06-5291122 atau mana-mana balai polis berhampiran.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 12 JANUARI 2010

Tiada ulasan: