PENGUNJUNG SETIA

01 Januari 2010

DITAHAN KETIKA BAWA KELUAR CIP MIKRO KALI KETIGA

TANGKAK: Penahanan seorang operator pengeluaran wanita yang cuba menyeludup keluar cip mikro dari sebuah kilang di Tanjung Agas di sini, membongkar kegiatan sindiket penyeludupan cip mikro ke luar negara yang aktif di daerah itu sejak pertengahan 2009.

Susulan tangkapan wanita berkenaan, sembilan lagi ahli sindiket itu termasuk perancang utamanya dicekup sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang dalam operasi 10 hari sejak 13 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, berkata wanita yang bekerja sebagai operator pengeluaran berusia 26 tahun itu ditahan ketika cuba membawa keluar cip mikro seberat dua kilogram bernilai RM50,000.

Katanya, wanita itu dikatakan membawa cip mikro terbabit dalam beg kanvas biru tetapi lagaknya yang mencurigakan menyebabkan dia ditahan pengawal keselamatan sebaik tamat bekerja kira-kira jam 11.05 pagi pada 13 Disember lalu sebelum diserahkan kepada polis.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati bukan kali pertama wanita berkenaan membawa keluar cip mikro terbabit, sebaliknya dipercayai kali ketiga sebelum ditahan.

Menurutnya, susulan tangkapan wanita itu, sembilan lagi anggota sindiket termasuk lapan lelaki dan seorang wanita berusia antara 26 hingga 38 tahun, ditahan bagi membantu siasatan.

“Tangkapan kedua dan ketiga pada 16 Disember lalu, masing-masing membabitkan seorang lelaki di Jasin dan Bukit Cheng, Melaka

“Susulan itu, dua lagi lelaki dan seorang wanita termasuk pasangan suami isteri ditahan di Nilai, Negeri Sembilan pada 23 Disember lalu.

“Dua hari kemudian seorang lelaki ditahan di Muar dan keesokannya dua lagi lelaki ditahan di daerah sama. Semua mereka berusia antara 29 dan 36 tahun.

“Perancang utama sindiket itu yang juga abang kepada seorang daripada lelaki yang ditahan, berjaya ditahan di sebuah rumah pada 26 Disember lalu kira-kira jam 2.40 petang, bersama pelbagai barangan seperti cip mikro serta peralatan yang digunakan bagi memproses produk berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di IPPD Ledang di sini, semalam.

SUMBER: HARIAN METRO, 01 JANUARI 2010

1 ulasan:

faizalfretless berkata...

ermmm...punah la hidup org yg kena tangkap tu....