PENGUNJUNG SETIA

07 Januari 2010

TANGGUH GUNA KALIMAH

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali
bhnews@bharian.com.my

PEGUAM Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail keluar selepas mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanan perintah yang membenarkan penerbitan itu menggunakan perkataan 'Allah' di Mahkamah Tinggi Sivil 5, Kuala Lumpur, semalam. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Mahkamah benar permohonan Menteri Dalam Negeri isu 'Allah'

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan permohonan Menteri Dalam Negeri untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan berhubung penggunaan kalimah 'Allah' dalam majalah Herald-The Catholic Weekly sementara menunggu rayuan kes itu.

Hakim Datuk Lau Bee Lan membenarkan permohonan itu dalam kamarnya, yang turut dipersetujui Ketua Biskop Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam yang dinamakan sebagai responden.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia selaku pemohon, berkata permohonan itu dibuat kerana kes berkenaan membabitkan kepentingan negara.

Katanya, kedua-dua pihak juga tidak perlu mengemukakan hujah panjang lebar yang boleh menyebabkan permohonan itu berlarutan dalam jangka masa yang lama bagi mengelakkan berlaku kekeliruan dan ketegangan dalam negara berhubung isu itu.

"Saya berterima kasih kepada responden kerana bersetuju dengan permohonan penangguhan ini dan kami akan berusaha sedaya upaya supaya rayuan kes dapat didengar secepat mungkin dan percaya ia akan didengar dalam masa terdekat.

"Saya berharap semua pihak tidak memberi persepsi yang salah hanya kerana kes ini didengar dengan segera... tiada yang salah dalam hal ini malah di Australia permohonan penangguhan didengar beberapa hari selepas sesuatu keputusan dibuat.

"Oleh kerana kedua-dua pihak bersetuju dengan permohonan ini, maka kes rayuan juga hendaklah dijalankan tanpa perlu berlengah demi kebaikan negara. Saya harap keputusan mahkamah hari ini dihormati dan tidak disalah anggap," katanya.

Abdul Gani turut menolak anggapan sesetengah pihak bahawa kes itu seolah-olah disegerakan kerana ia mendapat tekanan daripada masyarakat.

Beliau meminta semua pihak dapat memberikan ruang supaya kes berkenaan berjalan dengan sempurna.

Katanya, Lau juga memaklumkan kepada semua pihak bahawa alasan penghakiman akan diberikan secepat mungkin bagi membolehkan prosiding rayuan dijalankan segera.

Abdul Gani turut menempelak soalan dikemukakan seorang wartawan asing yang mahukan kepastian sama kes itu akan dipindahkan ke Mahkamah Syariah.

Katanya, media tidak seharusnya menyebarkan khabar angin dan perlu memahami kedudukan beliau yang tidak mempunyai bidang kuasa syariah.

Sementara itu, peguam responden, Derek Fernandez, berkata pihaknya bersetuju dengan permohonan berkenaan demi keamanan negara dan meminta mahkamah mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan berhubung kes itu di luar mahkamah.

Pada 31 Disember lalu, Lau membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Ketua Biskop Roman Katolik Kuala Lumpur dan mengisytiharkan bahawa kalimah 'Allah' bukan eksklusif kepada Islam saja.

Dalam penghakiman lisannya, beliau berkata, Herald mempunyai hak dari segi perlembagaan untuk menggunakan kalimah itu bagi menyebarkan agama Kristian kepada penganutnya.

Lau juga mengisytiharkan bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Januari tahun lalu yang memberikan permit penerbitan kepada Herald bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2009 dengan syarat ia dilarang menggunakan kalimah 'Allah', adalah batal dan tidak sah.

Pada prosiding semalam, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan turut diwakili Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said, Suzana Atan, Andi Razalijaya A Dadi, Mahamad Naser Disa dan Arik Sanusi Yeop Johari. Responden pula turut diwakili peguam S Selvarajah, Benjamin Dawson dan Annou Xavier.

Terdahulu, Lau menolak permohonan peguam Abdul Rahim Sinwan, Zainul Rijal Abu Bakar dan Haniff Khatri yang mewakili enam Majlis Agama Islam untuk hadir sama dalam prosiding permohonan penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah itu.

Tujuh majlis itu ialah Majlis Agama Islam Terengganu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Majlis Agama Islam Selangor, Majlis Agama Islam Kedah, Majlis Agama Islam Johor dan Majlis Agama Islam Melaka serta Pertubuhan Cina Islam Malaysia (Macma).

SUMBER: BERITA HARIAN, 07 JANUARI 2010

Tiada ulasan: