PENGUNJUNG SETIA

13 Januari 2010

RM3,000 UBAH SUAI MOTOSIKAL LAMA

Norhisham bersama motosikal klasik kesayangannya ketika menyertai pertandingan motosikal klasik di Bukit Gambir, baru-baru ini.
HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

BUKIT GAMBIR: Bagi memenuhi minat memulihara barangan berbentuk klasik seseorang itu sanggup menghabiskan wang yang banyak asalkan pelaburan yang dikeluarkan itu dapat mencapai kepuasan diri.

Dari sebuah motosikal yang buruk dan terbiar, kini setelah dibuat pengubahsuaian dan pemuliharaan kita tidak menyangka bahawa kenderaan itu telah berusia 30 tahun dan menarik perhatian sesiapa saja yang melihatnya.

Seorang peniaga, Norhisham Atan, 33, sanggup mengeluarkan perbelanjaan yang besar semata-mata untuk memenuhi minat terhadap motosikal berbentuk klasik walaupun banyak motosikal baru pelbagai jenama di pasaran.

Katanya, motosikal jenama Honda C70 keluaran tahun 1979 itu dibelinya tiga tahun lepas di Sungai Abong, Muar dengan harga RM400 dalam keadaan terbiar dan tidak digunakan lagi oleh pemilik asalnya.

“Ketika membelinya dulu, keadaan motosikal itu memang sudah tidak dipakai lagi dan saya membaikinya sedikit demi sedikit sambil menambah aksesori dan mengecat semula agar lebih cantik.

“Bagi memenuhi minat untuk menjadikan motosikal itu berbentuk klasik, saya telah mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM3000 bagi kos ubahsuai motosikal itu,” katanya yang tinggal di Kampung Parit Kerinci, di sini ketika ditemui baru-baru ini.

Norhisham berkata, demi minat dia sanggup menghabiskan wang yang banyak untuk menukar wajah motosikal itu supaya benar-benar klasik berbanding dengan motosikal lama lain.

Menurutnya, kepuasan terasa dalam diri apabila melihat wajah motosikal yang diingini siap sepenuhnya dalam keadaan menarik dan akan menjaganya sebagai bahan warisan.

Kini setelah tiga tahun memiliki motosikal klasik itu, beliau gembira kerana berjaya mendapat tempat kedua dalam dua pertandingan motosikal klasik anjuran Faceless Motor Club (FMC) tahun lepas sempena Ledang Autoshow 2009 di Kompleks Pasar Tani Bukit Gambir dan Karnival Jualan Mega Ledang 2009 di Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir.

Katanya, kemenangan itu sebagai peniup semangat beliau untuk memberikan sentuhan lebih kreatif kepada motosikal klasiknya agar lebih menarik dan akan mewariskan kepada anak-anak kerana sukar untuk mendapatkan motosikal lama yang mempunyai nilai sejarah dan nostalgia itu.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 13 JANUARI 2010

Tiada ulasan: