PENGUNJUNG SETIA

05 Januari 2010

JOHOR DIYAKINI PELABUR KERANA POLITIKNYA STABIL

LEDANG 5 Jan: Johor terus menerima kemasukan pelaburan asing kerana keadaan politiknya yang stabil. Demikian dinyatakan Menteri Besar, Dato' Abdul Ghani Othman.

foto l Hairul Abu Bakar
Rasmi...Menteri Besar, Dato' Abdul Ghani Othman ketika merasmikan Upacara Pecah Tanah Bangunan Baru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Hwa, Sungai Mati.

Katanya, kestabilan yang berpunca daripada kesefahaman masyarakat berbilang kaum itu adalah faktor utama yang memacu pertumbuhan dalam sektor ekonomi negeri.

Beliau berharap, kestabilan politik dan keamanan yang dikecapi sekarang ini akan menarik lebih ramai pelabur asing untuk melonjakkan lagi pembangunan negeri.

"Negeri Johor terus menerima ramai pelabur asing termasuk dari Perancis, England, Sepanyol, Singapura dan Korea Selatan. Tetapi untuk 2010 ini, kita berharap akan ada pelaburan besar daripada syarikat di Malaysia sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Upacara Pecah Tanah Bangunan Baru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Hwa, Sungai Mati di sini, baru-baru ini.

Katanya lagi, kesefahaman itu harus dipertahankan kerana perpecahan di kalangan rakyat akan memberi kesan buruk kepada negara.

"Sepanjang kita bersama di negeri Johor, segala pembangunan dan kemakmuran yang dinikmati adalah dikecapi bersama dan kita tidak mahu berlakunya perpecahan sehingga wujud keadaan saling tidak percaya di kalangan rakyat," katanya.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM400,000 kepada sekolah berkenaan bagi membina blok bangunan bernilai RM2.2 juta.

SUMBER: LAMAN WEB PEJABAT MENTERI BESAR JOHOR, 5 JANUARI 2010

Tiada ulasan: