PENGUNJUNG SETIA

04 Januari 2010

WARGA EMAS DEDAH RAHSIA KEKAL BAHAGIA

Ismail dan Saidah sedang memotong kek pada majlis meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-60 di Kampung Seri Paya, Kulaijaya, baru-baru ini.
HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

LEDANG: Persefahaman antara satu sama lain adalah pemangkin kepada kehidupan berumahtangga yang harmoni dan kekal bagi pasangan warga emas ini dalam mengharungi rutin kehidupan mereka.

Walaupun kita sering disogokkan dengan berita mengenai pasangan suami isteri yang baru beberapa tahun berumahtangga namun tidak kekal apabila bahtera kasih sayang mereka hancur di pertengahan.

Tetapi bagi pasangan warga emas, Ismail Busu, 86, dan Saidah Kiman, 74, mempunyai rahsia tersendiri apabila dapat hidup rukun dan bahagia sehingga usia perkahwinan mereka mencecah 60 tahun.

Menurut cucunya, Noor Ashikin Shabudin, 24, datuk dan neneknya mempunyai 14 orang anak tetapi yang masih hidup 11 orang merupakan pasangan yang ideal dan menjadi contoh kepada anak cucu mereka dalam menjalani kehidupan berumahtangga yang bahagia.

Katanya, baru-baru ini telah diadakan majlis ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-60 yang dianjurkan oleh ahli keluarga mereka di Kampung Seri Paya, Kulaijaya bagi meraikan keutuhan usia perkahwinan pasangan itu.

“Majlis itu diadakan bagi menghimpunkan kesemua keluarga anak pasangan itu serta 35 orang cucu dan 14 cicit bagi menghargai jasa dan bakti yang dicurahkan mereka dalam membesar dan mendidik anak-anak hingga berjaya.

“Melalui pertemuan itu kami dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan mengukuhkan lagi ikatan persaudaran apabila semua keluarga dapat berhimpun dan saling berkenal-kenalan,” katanya yang tinggal di Bukit Gambir, di sini.

Katanya, walaupun mereka tinggal berdua namun masih sihat dan aktif dalam menyertai program kemasyarakatan di kampung malah mereka disenangi oleh penduduk kampung atas keramahan dan sikap suka tolong-menolong antara satu sama lain.

Noor Ashikin berkata, apabila ditanya tentang rahsia atau petua yang diamalkan bagi mengekalkan kebahagian rumahtangga, neneknya memberitahu supaya memperbanyakkan beribadat dan solat selain bertolak ansur dan bersefahaman dalam menjalani kehidupan seharian.

Katanya, mungkin berkat di atas khidmat neneknya mengajar kanak-kanak di kampungnya mengaji al-Quran pada waktu petang dapat menambahkan lagi kebahagian mereka kerana usaha beliau itu merupakan satu ibadat.

Tambahnya lagi, pasangan itu amat terharu apabila anak serta cucu mengadakan majlis secara besar-besaran bagi meraikan ulang tahun perkahwinan mereka sekaligus dapat merapatkan keakraban hubungan keluarga.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 04 JANUARI 2010

Tiada ulasan: