PENGUNJUNG SETIA

08 Januari 2010

KAJI PRASARANA SEKOLAH KUALITI PEMBELAJARAN

LEDANG 7 Jan. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran akan mengkaji semula pelan pembangunan prasarana sekolah di seluruh negara supaya persekitaran kondusif yang mampu meningkatkan kualiti pembelajaran dapat diwujudkan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, aspek infrastruktur sekolah yang lebih selesa itu dilihat amat penting bagi meningkatkan kecekapan warga pendidik serta membangkitkan minat para pelajar.

“Sistem pendidikan pada masa kini perlu bersifat holistik dan bukan sekadar terhad kepada aktiviti pembelajaran dalam bilik darjah semata-mata.

“Suasana kondusif yang diwujudkan melalui kemudahan dewan, padang serta bilik guru yang lebih selesa ini telah pun diamalkan di negara-negara maju dan ia terbukti menyumbang kepada kemajuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian anugerah pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) peringkat Parlimen Pagoh di Sekolah Kebangsaan Bukit Rahmat di Kundang Ulu di sini hari.

Pada majlis yang sama, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM25 juta bagi pembinaan dewan tertutup untuk empat buah sekolah dan 11 buah dewan terbuka bagi sekolah-sekolah di kawasan Parlimen Pagoh.

Menurut Muhyiddin, beliau yakin perbelanjaan yang tidak terlalu besar boleh diperuntukkan oleh kerajaan bagi tujuan penaiktarafan infrastruktur sekolah.

“Saya tidak fikir kita perlu berbelanja lebih, kita boleh membuat rekaan semula kepada reka bentuk sekolah dengan menggunakan sistem yang lebih mudah dan murah.

“Rancangan ini boleh mengurangkan kos antara 20 hingga 30 peratus dan sudah tentunya, tidak timbul lagi masalah seperti bilik guru yang kecil,” katanya.

Katanya, usaha tersebut akan juga meningkatkan lagi imej sekolah dan karier perguruan serta menggalakkan lagi para pelajar untuk lebih cemerlang dalam segenap aspek pelajaran.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 08 JANUARI 2010

Tiada ulasan: