PENGUNJUNG SETIA

01 Januari 2010

KERETA DIREMPUH, PENUNTUT UNIVERSITI MAUT

LEDANG 31 Dis. – Seorang penuntut universiti yang kenderaannya terbabas di tengah lebuh raya, maut selepas dirempuh sebuah kereta dari belakang di Kilometer 167.4, Lebuh Raya Utara Selatan di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, mangsa, R. Rajan, 23, dipercayai cuba keluar dari kereta selepas kenderaannya terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terhenti di tengah lebuh raya itu.

Bagaimanapun, sebuah kereta dari belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta mangsa.

Mangsa merupakan seorang penuntut Singapore Management University di Singapura meninggal dunia di tempat kejadian berikutan kecederaan parah di kepala.

Pemandu dan penumpang sebuah lagi kereta, Emery Fahmi Bujang, 28, berasal dari Melaka dan Mohd. Khairul Tasripan, 27, dari Kulai turut cedera dan dikejarkan ke Hospital Tangkak.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, siasatan awal mendapati, kereta mangsa terhenti di tengah lebuh raya selepas terbabas sebelum dirempuh oleh sebuah kenderaan dari belakang.

“Mangsa yang cuba keluar dari keretanya cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 01 JANUARI 2010

Tiada ulasan: