PENGUNJUNG SETIA

15 Januari 2010

PREMIS JUAL BARANG BERJENAMA DISERBU

MUAR 14 Jan. - Meskipun dua kali diberi amaran oleh Kementerian Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) supaya tidak menjual barangan tiruan, seorang peniaga masih berdegil.

Sikapnya itu akhirnya mengundang padah apabila premis tersebut diserbu oleh KPDNKK Cawangan Muar pada pukul 2 petang semalam.

Dalam serbuan itu, pelbagai barangan bernilai lebih RM10,000 terdiri daripada seluar, baju, topi, kasut, beg sandang dan beg pinggang daripada jenama terkenal seperti Adidas, Nike dan Levi's disita.

Ketua KPDNKK Cawangan Muar, Mohd. Basha Abidin Ali berkata, peniaga berusia 30-an itu telah dua kali diberi amaran sebelum tindakan sita tersebut dilakukan.

"Serbuan terhadap premis peniaga ini telah dijalankan dengan diketuai oleh pegawai penguat kuasa, Haidzir Shah Hairudin.

"Peniaga itu telah ditahan bagi siasatan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972. Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda RM100,000 bagi perniagaan perseorangan atau RM250,000 bagi sebuah syarikat atau tiga tahun penjara," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mohd. Basha, pemeriksaan mendapati barangan tiruan itu dijual pada harga lebih murah daripada jenama asli.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membeli barang-barang tiruan kerana kualitinya rendah.

"Selain itu, penjualan barangan tiruan akan juga merugikan kerana negara kehilangan hasil kutipan cukai," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, pihak KPDNKK Cawangan Muar merampas cakera padat digital (DVD), cakera padat video (VCD) dan cakera padat (CD) cetak rompak bernilai lebih RM30,000 dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Bukit Gambir di sini akhir bulan lalu.

Kata Mohd. Basha, serbuan yang dilakukan 17 Disember lalu itu merampas sebanyak 3,750 keping barangan berkenaan di samping menahan peniaga premis berusia 30-an untuk siasatan.

"Kes itu disiasat mengikut Akta Hakcipta 1987 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda sebanyak RM2,0000 bagi setiap salinan," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15 JANUARI 2010

Tiada ulasan: