TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

16 Januari 2010

PELAJAR KOMEN ISU KALIMAH DALAM FACEBOOK KENA DAKWA

Oleh Siti Nurazlinee Azmi
sitinurazlinee@bharian.com.my

MOHAMAD Tasyrif ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, semalam.

PETALING JAYA: Pelajar Akademi Seni Budaya, Warisan dan Kebangsaan (Aswara) yang memberi komen berhubung isu kalimah Allah dan cubaan membakar gereja di laman sosial Facebook didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan berniat untuk mengganggu dan mengancam orang lain.

Mohamad Tasyrif Tajudin, 25, dituduh menggunakan aplikasi internet itu secara sedar untuk memberi komen dalam laman Facebook dengan niat untuk mengganggu orang lain dengan menggunakan akaun pengguna, Shahrul Maizam, dengan menulis "ke nak aku baling bom petrol di sana plak?... harga boleh runding..."

Pelajar tahun pertama jurusan perfileman itu dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah B10-17-20, Blok 10, Jalan PJS 2B/1, Desa Mentari 2, Petaling Jaya, jam 8.10 malam, 10 Januari lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan berikutan hakim yang sepatutnya mendengar kes itu, Aslam Zainuddin berada di Shah Alam untuk mengendalikan prosiding lain dan diganti dengan Majistret Ho Kwong Cin.

Mohamad Tasyrif yang kelihatan tenang sepanjang prosiding berjalan didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan Mohamad Tasyrif yang tidak diwakili peguam boleh didenda maksimum RM50,000 atau dipenjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh bagaimanapun, ditahan sehingga 18 Januari ini bagi membolehkan kes itu disebut semula di depan Aslam.

SUMBER: BERITA HARIAN, 16 JANUARI 2010

Tiada ulasan: