TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

01 Januari 2010

POLIS TUMPAS SINDIKET CURI MIKROCIP

LEDANG 31 Dis. - Polis menumpaskan satu sindiket mencuri dan menyeludup mikrocip dengan tertangkapnya 10 anggota termasuk ketuanya serta merampas bahan tersebut bernilai RM50,000 di Tangkak di sini.

Tangkapan Sabtu lalu dan di beberapa lokasi dipercayai berjaya menyelesaikan kes curi bahan tersebut termasuk di Melaka dan Negeri Sembilan.

Kejayaan itu diperoleh berikutan penahanan seorang pekerja wanita yang cuba menyeludup dua kilogram mikrocip bernilai RM50,000 dari sebuah kilang di Tanjung Agas di sini, 13 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, suspek yang bekerja sebagai operator pengeluaran di situ telah ditahan oleh pengawal keselamatan kilang pada pukul 11 pagi.

Katanya, dia kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

"Siasatan kira-kira dua minggu membawa kepada penahanan dua lelaki di Melaka dan seterusnya dua lagi lelaki serta seorang wanita di Nilai, Negeri Sembilan.

"Pihak polis kemudiannya membuat tangkapan tiga lagi lelaki di Muar dan akhirnya kami berjaya memberkas ketua sindiket itu di Tangkak, Sabtu lalu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jelas beliau, ketua sindiket tersebut dipercayai mempunyai hubungan dengan sindiket di peringkat antarabangsa dan difahamkan sebanyak tiga transaksi penyeludupan keluar mikrocip telah dilakukan tahun ini.

"Penahanan terhadap suspek utama ini di rumahnya juga telah menemui pelbagai barangan mikrocip serta perkakas komputer yang digunakan untuk kegiatannya.

"Siasatan lanjut bagi mengesan anggota lain masih diteruskan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan," katanya.

Tambahnya, suspek yang bekerja sebagai operator pengeluaran itu telah pun didapati bersalah oleh mahkamah dan dijatuhkan hukuman denda RM5,000 serta penjara 10 hari.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 01 JANUARI 2010

Tiada ulasan: