TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

12 Oktober 2012

BELIA PERLU REBUT PELUANG DALAMI BIDANG KIMPALAN

LEDANG 11 Okt. - Belia disaran menyertai kursus yang ditawarkan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ledang terutama dalam bidang kimpalan dengan memperoleh Sijil Kimpalan 6G yang menjanjikan gaji lumayan.

Pengarah ILP Ledang, Adnan Ismail berkata, pasaran kerja sangat luas bagi mereka yang memiliki sijil tersebut malah menjadi rebutan dalam industri perkapalan, binaan struktur dan industri serta industri kejuruteraan berat.

"Mereka tidak perlu bimbang dengan peluang pekerjaan kerana ILP Ledang sentiasa menjalin kerjasama dengan syarikat dan wakil industri termasuk Petronas di negeri ini.

"Biasanya gaji yang ditawarkan semasa wakil-wakil mereka datang ke ILP Ledang untuk menawarkan peluang pekerjaan adalah sama apabila pelatih bekerja nanti. Mereka menepati janji," katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Sijil Profesional 6G di ILP Ledang, Sagil, dekat sini hari ini. 

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kepakaran Kimpalan Institusi latihan Jabatan Tenaga Manusia, Abdul Rahman Said yang juga Pengerusi ILP Selandar.

Adnan berkata, peluang jurukimpal yang memiliki sijil berkenaan bukan sahaja terhad perkhidmatannya di negara ini tetapi juga diambil bekerja oleh syarikat luar dengan gaji berganda.

"Ada antara bekas pelatih ILP Ledang bekerja dengan syarikat luar antaranya di Singapura, Vietnam, Australia, Asia Barat dan Afrika dengan gaji kira-kira RM80 untuk satu jam," katanya. 

Menyentuh tentang kursus melibatkan bidang yang lain, Adnan berkata, pelatih ILP Ledang dalam teknologi plastik, reka bentuk produk industri dan fabrikasi logam turut mempunyai banyak peluang pekerjaan khususnya di kawasan perindustrian Pasir Gudang dan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia di Pengerang.

Beliau menarik perhatian bahawa semua lepasan ILP Ledang tidak pernah berhadapan dengan masalah pengangguran, malah sebelum habis belajar mereka sudah ditawarkan pekerjaan oleh industri mengikut kemahiran masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Katanya, pihaknya kini sedang berbincang dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India dan wakil komuniti masyarakat Cina untuk menarik lebih ramai penyertaan bukan Melayu ke ILP Ledang.

Adnan memberitahu, daripada 524 pelatih di ILP tersebut, hanya 26 India dan empat Cina manakala selebihnya Melayu sedangkan institut itu terbuka kepada semua kaum terutama belia berumur 18 hingga 35 tahun.

Tiada ulasan: