PENGUNJUNG SETIA

22 Oktober 2012

BANTU KES CULIK POLIS

NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN

Bantu kes culik polis
Mohd Muizz dikehendaki untuk membantu siasatan kes culik polis.
 
LEDANG – Polis kini sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai boleh membantu menyelesaikan kes melarikan seorang anggota polis selain cuba mencederakannya di Serom, dalam kejadian Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, lelaki berkenaan, Mohd Muizz Khairil Annuar berusia 26 tahun dan berasal dari Tangkak.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7 petang Selasa lalu, anggota polis terbabit, Koperal Kamarullah Hawari, 40-an, yang baru selesai bertugas di Pondok Bit Serom mendapat maklumat mengenai sebuah kereta Proton Waja dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak berhampiran.

“Semasa anggota polis yang berpakaian preman itu sampai di lokasi kejadian dan menyoal suspek, separuh badannya berada dalam kereta melalui tingkap pemandu.

“Suspek kedua yang sedang mengisi angin tayar meluru masuk ke tempat duduk penumpang hadapan dan terus menarik Kamarullah masuk,” katanya.

Harun berkata, anggota polis itu kemudian dilarikan dan sepanjang perjalanan, mangsa mengalami kecederaan kecil dipercayai terkena objek tumpul kerana bergelut sebelum ditinggalkan di persimpangan lampu isyarat di Serom 1.

Katanya, bagaimanapun anggota polis terbabit sudah kembali bertugas dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 506 KK yang kedua-duanya memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam perkembangan lain, Harun memberitahu, sebuah rumah di pekan Rawang, di sini dimasuki tiga pencuri kira-kira jam 8 malam semasa penghuninya sedang asyik menonton televisyen di ruang tamu.

Katanya, mangsa pertama, 56, cedera akibat terkena pisau di telinga sebelum diikat manakala anak perempuannya, 16, dan cucu lelakinya, 2, tidak diapa-apakan sebelum tiga perompak terbabit menggeledah rumah tersebut selama setengah jam dan melarikan wang tunai RM33,000.

Beliau berkata, pihaknya akan melakukan pemeriksaan di kawasan rumah kongsi yang terletak kira-kira setengah kilometer dari kediaman mangsa selain menggempur sarang penagih dadah berdekatan untuk mengesan suspek.

SUMBER: SINAR HARIAN, 22 OKTOBER 2012

Tiada ulasan: