TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

15 Oktober 2012

TIGA BERANAK MAUT KEMALANGAN

KERETA kancil yang membawa lima penumpang bertembung dengan sebuah lori mengakibatkan tiga maut termasuk dua kanak-kanak di kilometer 5, Jalan Tangkak- Muar, di Ledang, Johor, kelmarin. 
 
LEDANG 14 Okt. - Tiga beranak maut dan seorang lagi cedera parah apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 5, Jalan Muar-Tangkak di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 4.45 petang itu, mangsa, Mohd. Adzhar Abu Bakar, 29, dan dua anaknya, Mohd. Wahyu, 3, dan Nursyifa Qistina, 2, terbunuh akibat mengalami kecederaan parah.

Tiga beranak berkenaan menghembuskan nafas terakhir semasa dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar. Mohd. Wahyu disahkan meninggal dunia pukul 6 petang diikuti Nursyifa Qistina tiga jam kemudian, manakala Mohd. Adzhar 3 pagi ini.

Dua lagi iaitu adik ipar Mohd. Adzhar, Safawi Abd. Malik, 20-an, dilaporkan kritikal manakala isteri Mohd. Adzhar, Salasiah Abd. Malik, 29, yang memandu kereta tersebut dalam keadaan stabil dan masih dirawat di HPSF.

Sementara itu, pemandu lori, Mohd. Shahril Abu, 27, yang berasal dari Tangkak hanya mengalami cedera ringan di kaki dan tangan.

Difahamkan mangsa yang berniaga menjual jambu batu dalam perjalanan pulang ke kampung keluarganya di Bukit Pasir, Muar untuk mengambil buah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, siasatan awal polis mendapati kemungkinan pemandu kereta Perodua Kancil terbabit mengantuk menyebabkannya hilang kawalan lalu memasuki laluan lori yang datang dari arah bertentangan lalu bertembung.

"Akibat pertembungan itu, kereta mangsa berpusing ke arah bertentangan sebelum terbabas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Mohd. Shahril memberitahu, kejadian itu berlaku dengan pantas apabila tiba-tiba kereta Perodua Kancil tersebut memasuki laluannya.

"Mujur lebih 20 tong gas yang saya bawa tidak meletup dan hanya bahagian depan dan tepi lori remuk," katanya.

Akibat kemalangan itu, laluan berdekatan Parit Bunga, di sini sesak sepanjang hampir satu kilometer.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15 OKTOBER 2012

Tiada ulasan: