TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

15 Oktober 2012

PEMANDU MUNGKIN KANTUK

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


LEDANG: Tiga sekeluarga termasuk dua kanak-kanak, maut manakala seorang lagi saudara mereka kritikal selepas kereta Perodua Kancil dinaiki bertembung lori membawa tong gas di Kilometer 5, Jalan Muar-Tangkak, Ledang di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu mangsa yang terbunuh Mohd Adzhar Abu Bakar, 29, serta dua anaknya, Mohd Wahyu, 3, dan Nursyifa Qistina, 2.

Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan ke Bukit Pasir, Muar, untuk mengambil barangan jualan, bersama isteri Mohd Adzhar, Salasiah Abd Malik, 29, yang memandu kereta serta seorang saudara, Safawi Abd Malik, 20.

Ketika tiba di tempat kejadian, kereta berkenaan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung lori menyebabkan Perodua Kancil berkenaan remuk dan Safawi cedera parah.

Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk rawatan kecemasan, namun Mohd Wahyu disahkan meninggal dunia jam 6 petang kelmarin, diikuti Nursyifa Qistina tiga jam kemudian dan Mohd Adzhar, jam 3 pagi semalam.

Safawi masih dalam keadaan kritikal manakala Salasiah dilaporkan stabil dan mereka dirawat di HPSF.

Pemandu lori, Mohd Shahril Abu, 27, dari Tangkak cedera ringan di kaki dan tangan.

Mohd Shahril ketika ditemui berkata, kejadian berlaku terlalu pantas dan dalam sekelip mata Perodua Kancil berkenaan memasuki laluannya.

Katanya, kejadian itu menyebabkan dia tergamam dan tidak sempat mengelak sebelum berlanggar secara berdepan.

"Mujur, lebih 20 tong gas yang saya bawa tidak meletup. Saya cedera di kaki dan hanya depan serta tepi lori remuk. Saya simpati dengan keluarga mangsa, namun tidak mampu berbuat apa-apa," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris ketika dihubungi berkata, Perodua Kancil itu dinaiki lima sekeluarga dalam perjalanan dari Ledang ke Bukit Pasir, Muar, manakala lori terbabit dari arah bertentangan.

"Siasatan awal mendapati kemungkinan pemandu kereta terbabit mengantuk menyebabkan dia hilang kawalan lalu memasuki laluan lori arah bertentangan.

"Orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 15 OKTOBER 2012

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

apa "kantuk" tu. beri makna yg tepat istilah tu , tolong....

::BLOGMASTER:: berkata...

kantuk rasa hendak tidur: Tak dpt ia menahan ~nya kerana terlalu letih. mengantuk berasa hendak tidur: Kalau ~, pergilah tidur. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)

kantuk rasa hendak tidur: ia mencuba menghilangkan ~ utk menghabiskan kerja; mengantuk berasa hendak tidur: ia ~ benar kerana hari sudah larut malam; orang ~ disorongkan bantal prb mendapat sesuatu yg sangat-sangat dikehendaki (diingini); terkantuk mengantuk dgn tiba-tiba. (Kamus Dewan Edisi Empat)

kantuk rasa hendak tidur:Tak dpt ia menahan ~nya kerana terlalu letih. mengantuk berasa hendak tidur:Kalau ~, pergilah tidur. (Kamus Pelajar)

ngantuk bp mengantuk; ® kantuk. (Kamus Dewan Edisi Empat)