PENGUNJUNG SETIA

13 Oktober 2012

4 LELAKI, SEORANG WANITA DITAHAN TERLIBAT KES RAGUT

LEDANG 12 Okt. - Bergerak dari satu daerah ke satu daerah untuk meragut menjadi modus operandi satu kumpulan peragut yang berpusat di sini bagi mengelak dikesan dan mendapatkan hasil lumayan.

Kumpulan itu yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita meragut mangsa di sekitar Ledang, Muar dan Segamat selain Melaka sejak setahun lalu.

Bagaimanapun kegiatan mereka berjaya ditumpaskan apabila salah seorang daripadanya ditahan sepasukan polis di Kampung Chondong, Jasin, Melaka pukul 4.30 pagi, 25 September lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, penahanan suspek yang berusia 32 tahun itu membawa kepada penahanan suspek kedua berusia 26 tahun di Kampung Kemuning, Tangkak di sini.

"Suspek kedua ditahan kerana terlibat kes ragut yang dilaporkan di Balai Polis Sungai Mati, di sini dan kedua-dua suspek mengaku terlibat beberapa kes ragut di Ledang. Selain itu, kedua-duanya didapati positif dadah jenis heroin.

"Polis turut merampas dua beg tangan wanita mengandungi pelbagai kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kad pengenalan diri dan lesen memandu dipercayai milik mangsa ragut.

"Suspek pertama mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala suspek kedua mempunyai tiga rekod dadah," katanya di sini semalam.

Susulan tangkapan itu, pihaknya berjaya memberkas tiga lagi suspek iaitu dua lelaki yang tidak bekerja dan kedua-duanya berusia 28 tahun serta seorang wanita berumur 27 tahun di Sungai Mati dan Muar untuk membantu siasatan.

Harun berkata, wanita berkenaan bekerja sebagai kerani dan isteri kepada salah seorang suspek.

Beliau berkata, kesemua suspek didapati terlibat dalam 12 kes ragut di sekitar daerah ini dan kawasan berhampiran dengan nilai keseluruhan rampasan tersebut dianggarkan lebih RM10,000.

"Kebanyakan barangan kemas milik mangsa dijual ke kedai pajak gadai dan sebahagiannya dibuang ke dalam sungai dengan tujuan untuk melupuskan bukti," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 13 OKTOBER 2012

Tiada ulasan: