PENGUNJUNG SETIA

16 Oktober 2012

RM425,000 BANTU NGO DI DUN GAMBIR

M. ASOJAN (tengah) bersama sebahagian wakil NGO Cina selepas menyampaikan cek Kerajaan Johor di Kampung Batu 18, Bukit Gambir, Ledang, Johor, kelmarin. 
 
LEDANG 15 Okt. - Kerajaan negeri menyalurkan RM425,000 kepada 85 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir bagi menjalankan aktiviti kemasyarakatan atau keagamaan.

Sumbangan Pejabat Menteri Besar itu membolehkan setiap NGO berkenaan menerima RM5,000 bagi kegunaan mereka menjalankan aktiviti bersama ahli persatuan atau masyarakat setempat.

Peruntukan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M. Asojan kepada ketua kaum Cina, Wang Liang Seng di Kampung Sengkang Batu 19, Bukit Gambir, dekat sini semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri berkata, dana tersebut diberikan kepada NGO terbabit untuk menggerak kegiatan mereka selain untuk memenuhi keperluan serta kepentingan sekolah, rumah ibadat dan komuniti kampung.

"Diharap peruntukan ini dapat memberi manfaat kepada NGO terbabit dan masyarakat setempat. Kerajaan negeri sentiasa membela rakyat tidak mengira kaum dengan menyalurkan peruntukan sama ada dalam bentuk kewangan mahupun projek demi kesejahteraan dan faedah semua masyarakat," katanya.

Sementara itu, Liang Seng mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri terutamanya di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman yang menyalurkan dana berkenaan.

Beliau berkata, peruntukan itu dapat merapatkan lagi hubungan antara penduduk dengan pemimpin dan amat berharap masyarakat Cina di kampungnya terus mengekalkan perpaduan sedia ada.

"Kami sentiasa memberi sokongan kepada kerajaan dan memelihara perpaduan antara kaum supaya dapat hidup dengan lebih sejahtera," katanya.

Pengerusi Peladangan Sayur Berkelompok Batu 18 dan 19 Sengkang, Tan Soo Tiok pula berkata, sumbangan itu menunjukkan kerajaan prihatin terhadap keperluan masyarakat berbilang kaum di negeri itu.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 16 OKTOBER 2012

Tiada ulasan: