TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

23 Oktober 2012

KILANG PERABOT TERBAKAR

Wartawan Sinar Harian
Kilang perabot terbakar
Keadaan kilang yang terbabit dalam kebakaran pagi semalam.
 
LEDANG – Bunyi letupan kuat menyelamatkan kira-kira 50 pekerja warga asing dalam satu kebakaran di sebuah kilang perabot di Bukit Kangkar dekat Sungai Mati, awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu berlaku ketika kesemua pekerja terbabit sedang tidur nyenyak di asrama yang terletak di belakang kilang berkenaan.

Berikutan itu, kesemua pekerja kilang lari menyelamatkan diri ke kawasan lapang berhampiran tempat kejadian.

Mereka kemudiannya memaklumkan kejadian kepada ibu bapa pemilik kilang berkenaan yang tinggal di hadapan kilang itu, sebelum menghubungi balai bomba berhampiran untuk mendapatkan bantuan kecemasan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ledang, Amran Isa berkata, pihaknya  menerima panggilan kecemasan pada jam 2.35 pagi dan mengerahkan sebuah jentera bersama lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak ke lokasi kejadian.

Menurutnya, mereka turut dibantu sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, namun apabila tiba lokasi kejadian, hampir 80 peratus kilang berkenaan telah musnah dijilat api.

“Kita berjaya mengawal keseluruhan kebakaran pada jam 3.15 pagi daripada merebak ke bahagian lain.

“Kebakaran dikatakan berpunca dari bahagian depan kilang sebelum merebak dengan cepat ke seluruh bahagian, namun sempat dikawal bomba sebelum merebak ke dua kilang bersebelahan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Katanya, mujur ada pekerja yang  menyedari kejadian itu lebih awal dan menyelamatkan nyawa rakan yang lain kerana ketika itu, kesemuanya sedang tidur.

“Nilai kerugian masih dalam siasatan dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan yang dilaporkan,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 23 OKTOBER 2012

Tiada ulasan: