PENGUNJUNG SETIA

29 Oktober 2012

KERAJAAN JOHOR MULA EDAR BEKALAN MAKANAN, PERSIAPAN HADAPI BANJIR

LEDANG - Kerajaan negeri Johor sudah mula menghantar stok bekalan makanan kepada penduduk di kawasan pulau dan pedalaman negeri ini yang sering terputus hubungan akibat banjir sebagai persiapan awal menghadapi musim tengkujuh.
  
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata pihaknya sudah memilih kedai-kedai yang akan membekalkan makanan bagi memastikan penduduk terlibat dalam bencana alam itu tidak terputus bekalan.
  
"Kita telah mengenal pasti tempat dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir dan melengkapkan segala kemudahan logisitk supaya bantuan kepada mangsa banjir mudah dilakukan," katanya kepada pemberita selepas majlis korban perdana Parlimen Ledang, di sini, hari ini.
  
Abdul Ghani berkata kerajaan negeri telah menerima maklumat dari Jabatan Meteorologi mengenai ramalan kadar hujan turun di negeri ini yang dijangka lebih daripada paras biasa pada tahun ini.
  
Beliau berkata sehubungan itu pihaknya sedang menunggu laporan terkini mengenai ramalan cuaca dari jabatan berkenaan untuk dijadikan panduan.

Katanya, semua penduduk kawasan yang mudah dinaiki air dinasihatkan lebih berhati-hati terhadap sebarang kemungkinan dan mereka perlulah segera berpindah sekiranya diarahkan pihak berkuasa berbuat demikian.
  
Terdahulu sebanyak 31 daripada 43 ekor lembu yang diperuntukkan bagi program sempena Aidiladha telah disembelih di kawasan masjid.
  
Pada majlis itu, Abdul Ghani yang juga Ketua Umno Bahagian Ledang menerima sumbangan tujuh ekor lembu dan bayaran zakat berjumlah RM35,000 dari Bank SME untuk penduduk di lima kampung kawasan berkenaan. - Bernama

SUMBER: SINAR HARIAN, 29 OKTOBER 2012

Tiada ulasan: