PENGUNJUNG SETIA

14 Oktober 2012

JANGAN SALAHKAN BAHASA MELAYU JIKA GAGAL KUASAI ILMU

LEDANG 13 Okt. - Orang Melayu diminta tidak menyalahkan bahasa Melayu jika gagal menguasai ilmu pengetahuan yang disediakan dalam bahasa itu kerana ia sudah terbukti sebagai bahasa ilmu sejak ribuan tahun.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, mereka tidak seharusnya menyalahkan bahasa Melayu yang dikatakan tidak mampu menyampaikan pengetahuan sedangkan mereka yang sebenarnya tidak berupaya mencari ilmu.

Beliau berkata, bahasa Melayu telah menjadi bahasa penting dan sebagai alat pertuturan penduduk rantau ini bermula dari zaman Majapahit dan menjadi bahasa utama dalam kalangan pedagang di Asia Tenggara ketika itu.

"Sejak dahulu ia menjadi bahasa perhubungan antara pelbagai keturunan dalam rumpun Melayu diikuti perhubungan dengan suku kaum lain. Malah, perhubungan dalam masyarakat seluruhnya dan bahasa perantara dalam pasaran melibatkan kaum-kaum utama antara Melayu, Cina dan India.

"Namun, mulai penghujung abad ke-20, cerdik pandai di negara ini termasuk orang Melayu bagaikan mengalami krisis psikologi bahawa bahasa Melayu disifatkan sebagai kekampungan dan bahasa lain diagung-agungkan kerana kononnya melambangkan moden, maju serta kontemporari," katanya semasa melancarkan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat negeri di Dewan Jubli Intan, Tangkak di sini semalam.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Awang Sariyan dan Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin.

Abdul Ghani berkata, bahasa Melayu pernah memainkan peranan penting dalam menyampaikan ilmu kepada ribuan penuntut pada 1983 apabila ia digunakan secara meluas di universiti tempatan.

Menurutnya, bahasa berkenaan digunakan dalam pengajian sastera, sains dan kejuruteraan termasuk aliran perubatan manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut menggunakannya dalam aliran sains.

Justeru, bahasa Melayu seharusnya dibangunkan dan untuk itu ahli politik, golongan korporat dan ahli perniagaan seharusnya memahami apa yang diperjuangkan menerusi Dasar Bahasa Kebangsaan.

"Dasar berkenaan sudah banyak membantu kejayaan dalam aspek pendidikan negara serta pentadbiran dan seharusnya disokong supaya ia boleh dikembangkan ke sektor swasta," katanya.

Sementara itu, Awang berkata, Bulan Bahasa Kebangsaan telah disambut sejak awal 1960-an dengan sasaran untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan bahasa kebangsaan untuk membina kedaulatan bangsa.

"Kita minta semua warganegara ini untuk menyambutnya dengan pelbagai aktiviti yang boleh dijayakan oleh pelbagai kaum dan budaya. Pada masa sama, kami di DBP akan terus membangunkannya untuk menjadikannya sebagai bahasa ilmu sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 14 OKTOBER 2012

Tiada ulasan: