TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

15 Oktober 2012

TIGA SEKELUARGA MAUT

NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN

Tiga sekeluarga maut
Keadaan kereta remuk setelah terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 5 Jalan Muar-Tangkak, dekat sini kelmarin.
 
LEDANG – Hasrat seorang lelaki pulang ke kampung keluarganya di Bukit Pasir, Muar untuk mengambil buah jambu bersama serbuk asam, tidak kesampaian apabila terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 5 Jalan Muar-Tangkak, dekat sini kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 4.45 petang membabitkan sebuah kereta dengan lori yang sarat membawa muatan tong gas menyebabkan tiga daripada lima penumpang kereta Perodua Kancil iaitu Mohd Adzhar Abu Bakar, 29, dua anaknya, Mohd Wahyu, 3, dan Nursyifa Qistina yang berusia dua tahun mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, kesemua mangsa dilaporkan kritikal dan disahkan meninggal dunia beberapa jam ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Menurutnya, Mohd Wahyu meninggal dunia jam 6 petang, diikuti Nursyifa Qistina jam 9 malam dan Mohd Adzhar meninggal dunia pada jam 3 pagi semalam.

“Pemandu kereta merupakan isteri kepada Mohd Adzhar, Shahlasiah Abd Malik, 29, kini dirawat di HPSF dan keadaannya stabil. Manakala adik pemandu, Safawi Abd Malik, 20an, dilaporkan kritikal.

“Siasatan awal dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu hilang kawalan lalu memasuki laluan lori dari arah bertentangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pemandu lori, Mohd Shahril Abu, 27, tidak dapat mengelak lalu bertembung dengan kereta berkenaan sebelum terbabas di bahagian kanan jalan.

“Akibat rempuhan kuat itu menyebabkan kereta Kancil remuk teruk di bahagian hadapan dan Mohd Adzhar tersepit di tempat duduk sebelah pemandu.

“Kita meminta saksi kejadian tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shahril berkata, kejadian itu berlaku sekelip mata apabila kereta kancil tersebut tiba-tiba masuk ke laluannya sebelum merempuh lorinya secara berdepan.

“Mujur lebih 20 tong gas yang saya bawa tidak meletup dan hanya bahagian depan dan tepi lori  remuk,” katanya.

Difahamkan, kemalangan tersebut membuatkan jalan berdekatan Parit Bunga itu sesak sepanjang hampir satu kilometer.

SUMBER: SINAR HARIAN, 15 OKTOBER 2012

Tiada ulasan: