PENGUNJUNG SETIA

01 Oktober 2012

LAKSANA PROJEK KEMUDAHAN IKUT JADUAL


MUSTAFA Kamal Shamsuddin (kiri) diiringi kakitangan Bahagian Audit Kementerian Kewangan melawat sebuah surau di Kampung Durian Chondong, Ledang, Johor, kelmarin.

LEDANG 30 Sept. - Kontraktor bumiputera yang diberi projek melaksana dan membina kemudahan untuk masyarakat luar bandar di daerah ini diminta mengambil inisiatif bagi menyiapkan segera kerja diamanahkan kepada mereka tanpa sebarang kelewatan.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Ledang, Mustafa Kamal Shamsuddin berkata, risiko kelewatan boleh menyebabkan imej kerajaan dipandang rendah oleh masyarakat kerana sebahagian besar projek berkenaan adalah untuk kepentingan umum.

"Antara masalah utama membabitkan kontraktor terbabit adalah mereka menyerahkan kerja kepada pihak lain. Berikutan itu kerja-kerja yang sepatutnya dilakukan menjadi tergendala dan ada antaranya tidak dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

"Mereka harus ada inisiatif untuk melaksana kerja mengikut jadual kerana ia turut memberi kesan negatif kepada kerajaan," katanya ketika meninjau projek membaik pulih kemudahan untuk masyarakat sekitar daerah ini dekat Kampung Durian Chondong baru-baru ini.

Lawatan itu turut disertai bahagian audit Kementerian Kewangan yang melakukan pemantauan terhadap 12 projek di bawah peruntukan membina dan membaik pulih membabitkan kemudahan awam serta kemudahan asas di kawasan luar bandar.

Mustafa berkata, sebanyak 50 projek diserahkan kepada kontraktor Kelas F di daerah ini pada tahun ini dengan 38 daripadanya disiapkan lebih awal daripada jangkaan manakala enam lewat dan selebihnya mengikut jadual.

Satu daripada kontraktor yang diberikan projek menerusi sistem tender terbuka itu pula katanya, ditamatkan kontrak kerana tidak menepati notis ditetapkan pihaknya untuk memulakan kerja.

Projek itu, katanya, adalah sebahagian daripada kerja-kerja membaik pulih kemudahan untuk masyarakat seperti surau, jalan raya dan gelanggang futsal dengan peruntukan lebih RM2 juta disalurkan pelbagai kementerian.

Beliau berkata, kebanyakan projek berkenaan membabitkan peruntukan di bawah RM100,000 dan kontraktor terbabit sentiasa dipantau supaya segera melaksanakan kerja-kerja diamanahkan.

"Mereka perlu ada tanggungjawab sosial kerana jika ia tergendala, masyarakat akan memandang ia sebagai kelemahan kerajaan sedangkan kita sudah melakukan mengikut sistem sedia ada.

"Kerana itu jika kontraktor terbabit menerima walau satu notis sekalipun daripada pihak kita, mereka akan disenarai hitam dan tidak boleh lagi memohon untuk mendapatkan projek lain selepas ini," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 01 OKTOBER 2012

Tiada ulasan: