PENGUNJUNG SETIA

10 Oktober 2012

TIGA BALAI BOMBA AKAN DIBINA DI KAWASAN KOMERSIAL

Wartawan Sinar Harian

Tiga balai bomba akan dibina di kawasan komersial
Abd Ghani (kiri) meninjau bangunan Balai Bomba Bukit Gambir selepas merasmikannya semalam.
 
LEDANG – Tiga kawasan di Johor iaitu Nusajaya, kawasan perindustrian Tanjung Langsat di Pasir Gudang  dan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang akan dibina balai bomba tidak lama lagi.

Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Datuk Ab Ghani Daud berkata, pembinaan tiga balai bomba itu dalam usaha memberi keyakinan kepada pelabur luar negara tentang aspek keselamatan sekali gus menarik lebih banyak pelaburan.

Menurutnya, pembinaan balai bomba baru itu adalah berdasarkan keperluan dan kepentingan di kawasan tersebut kerana apabila berlaku kebakaran atau kemalangan, bantuan dapat diberikan dengan segera.

“Ini akan memberi keyakinan kepada pelabur-pelabur yang hendak melabur di negara kita.

“Setakat ini kita sudah kenal pasti tapak untuk membina balai bomba baru itu contohnya di Nusajaya kita sedang berbincang dengan pemaju untuk beli tanah yang harganya lebih RM8 juta, begitu juga di Tanjung Langsat yang harga tanahnya antara RM7 hingga RM10 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Balai Bomba Bukit Gambir, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Penolong Pengarah Cawangan Pelaksanaan dan Penyelenggaraan Projek Wilayah Selatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Muhammad Hanafiah Shariff dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit  Gambir, Mohd Shazarul Afidz Mohd Khairuddin.

Ab Ghani berkata, bagi kawasan Rapid di Pengerang, pihak pengurusannya juga akan mempunyai pasukan bomba persendirian lengkap dengan jentera serta kemudahan sendiri khusus untuk kawasan berkenaan.

SUMBER: SINAR HARIAN, 10 OKTOBER 2012

Tiada ulasan: