TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

13 Oktober 2012

ISTERI JADI AHLI GENG PERAGUT

NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN
 Harun Idris
Harun menunjukkan antara dompet wanita yang ditemui bersama ahli sindiket peragut bersiri yang berjaya ditahan.
 
LEDANG – Demi cinta, seorang wanita sanggup melakukan apa sahaja untuk suaminya, walaupun terpaksa menjadi ahli sindiket peragut bersiri.

Namun cinta mereka akhirnya membawa ke tirai besi apabila kegiatan jenayah yang dilakukan berjaya dihidu polis.

Demikian nasib seorang kerani wanita yang ditahan bersama empat lelaki pada 25 September lalu di beberapa lokasi berbeza kerana dipercayai menjadi ahli kumpulan peragut bersiri yang dikehendaki setelah terbabit lebih 12 kes ragut dan samun sekitar daerah ini.

Wanita berusia 27 tahun itu merupakan isteri kepada salah seorang ahli kumpulan berkenaan yang sudah bergiat aktif dengan kegiatan meragut sejak setahun lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, kegiatan kumpulan berkenaan terbongkar selepas pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang menahan seorang lelaki berusia 32 tahun di sebuah rumah di Jalan Cabau Kampung Chondong, Jasin, Melaka, kira-kira jam 4.30 pagi.

Menurutnya, suspek dikehendaki polis berhubung dengan laporan berkaitan kes di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

“Selepas tangkapan suspek pertama, pihak polis berjaya menjejaki suspek seterusnya iaitu seorang lelaki berusia 26 tahun di Jalan Sialang, Tangkak pada jam 6.15 pagi.

“Lelaki itu ditahan kerana disyaki terlibat kes ragut bersangkutan dengan laporan di Balai Polis Sungai Mati,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, ketika ditahan, polis turut merampas dua paket plastik lut sinar yang dipercayai mengandungi dadah jenis heroin dan syabu.

Katanya, hasil siasatan, kedua-dua suspek mengaku terlibat dengan beberapa kes ragut di daerah Ledang, selain didapati positif dadah jenis heroin.

“Kita turut merampas dua beg tangan wanita  mengandungi pelbagai kad ATM, MyKad dan lesen memandu dipercayai milik mangsa yang diragut.

“Suspek pertama mempunyai dua rekod jenayah lampau iaitu berkaitan jenayah dan dadah.  Manakala suspek kedua, mempunyai tiga rekod penyalahgunaan dadah,” katanya.

Harun berkata, susulan itu, pihak polis berjaya memberkas tiga lagi suspek iaitu dua lelaki yang masing-masing berusia 28 tahun dan seorang wanita di Sungai Mati juga Muar untuk membantu siasatan.

Jelasnya, kesemua suspek didapati turut terlibat dalam kes ragut di daerah berhampiran seperti Segamat, Muar dan Melaka. 

“Suspek kemudiannya diserahkan ke IPD Muar untuk tindakan lanjut.

“Nilai rampasan dianggarkan RM10,000 dan kebanyakan barangan kemas milik mangsa sudah  dijual ke kedai pajak gadai dan sebahagiannya dibuang ke dalam sungai dengan tujuan untuk melupuskan bukti kegiatan mereka,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 13 OKTOBER 2012

Tiada ulasan: