PENGUNJUNG SETIA

15 Oktober 2012

TIGA BERANAK MAUT, 2 PARAH

Oleh Shaiffulazhar Misri


Ledang: Seorang bapa dan dua anaknya maut, manakala dua lagi anggota keluarganya parah, selepas Perodua Kancil dinaiki merempuh lori membawa muatan tong gas, di Kilometer 5, Jalan Muar-Tangkak, dekat sini.

Dalam kejadian jam 4.30 petang kelmarin, Mohd Wahyu Mohd Azhar, 3, meninggal dunia selepas dua jam dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Adiknya, Nursyifa Qistina, meninggal jam 9 malam diikuti bapa mereka, Mohd Azhar Abu Bakar, 29, jam 3 pagi semalam ketika dirawat di hospital sama.

Pemandu lori cedera ringan

Selain itu isteri Azhar, Salasiah Abd Malik, 29, yang memandu kereta dan adiknya, Safawi Abdul Malik, 20-an, dilaporkan parah dan dirawat di HPSF, manakala pemandu lori, Mohd Shahril Abu, 24, hanya cedera ringan di kaki serta tangan.

Difahamkan kejadian berlaku ketika Azhar yang juga peniaga jambu batu bersama keluarganya dalam perjalanan ke Bukit Pasir, Muar untuk mengambil barang jualan.

Hilang kawalan masuk ke laluan bertentangan

Ketua Polis Daerah, Superintendan Harun Idris, ketika dihubungi berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Perodua Kancil itu hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh lori daripada arah bertentangan.

"Siasatan awal menunjukkan kemungkinan pemandu kereta itu mengantuk menyebabkan keretanya memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh lori berkenaan. Rempuhan kuat menyebabkan kereta mangsa remuk teruk," katanya.

Harun berkata, kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Syukur 20 tong gas tak meletup

Sementara itu, Mohd Shahril, berkata, kejadian berlaku sekelip mata apabila Perodua Kancil berkenaan secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh lori dipandunya.

"Saya bersyukur kerana 20 tong gas yang dibawa tidak meletup dan jika ia berlaku, pasti lebih ramai lagi terkorban dalam nahas ini," katanya.

SUMBER: BH, 15 OKTOBER 2012

Tiada ulasan: