PENGUNJUNG SETIA

31 Oktober 2012

SME BANK SUMBANG RM25,000

ABDUL Ghani Othman menyampaikan replika cek wang zakat kepada Pengerusi JKKK Kampung Sialang, Mohd. Yusof Ahmad (kiri) sambil diperhatikan Sheikh Ghazali Sheikh Abod (kanan) di Kampung Sialang, Tangkak, baru-baru ini. 
 
LEDANG 30 Okt. - Empat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan sebuah surau di Tangkak menerima sumbangan wang zakat RM25,000 dan tujuh ekor lembu daripada SME Bank sebagai menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) institusi kewangan itu sempena Aidiladha kali ini.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung yang menerima sumbangan itu ialah JKKK Sialang; Tanjung Labuh; Seri Maamor; Padang Lerek 1 dan 2 dan Surau Anjung Batu.

Setiap satu menerima RM5,000 untuk diagihkan kepada golongan asnaf di kampung berkenaan sementara daging korban bagi golongan yang kurang berkemampuan.

Pengarah Pusat Pembangunan Usahawan SME Bank, Dr. Sheikh Ghazali Sheikh Abod berkata, program yang julung kali dianjurkan itu dapat memberi peluang syarikat korporat turun padang untuk bertemu dan beramah mesra bersama penduduk kampung sambil menyampaikan sumbangan.

"Keuntungan yang diraih SME Bank wajib dikongsi bersama masyarakat dengan menyalurkannya melalui pengeluaran zakat untuk diagihkan kepada lapan asnaf yang berhak menerimanya," katanya ketika berucap pada Majlis Korban Perdana dan Sumbangan Wang Zakat 2012 anjuran UMNO Bahagian Ledang dan SME Bank di Kampung Sialang, Tangkak, baru-baru ini.

Program itu dirasmikan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan turut dihadiri Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Goh Tee Tee; Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin; Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib dan Ketua Kampung Sialang, Mohd. Yusof Ahmad.

Sebanyak 31 daripada 48 ekor lembu disembelih dan dilapah oleh penduduk Kampung Sialang sebelum dagingnya diagihkan kepada penerima di Parlimen Ledang. 

Sheikh Ghazali berkata, SME Bank akan terus menjalankan aktiviti berbentuk kemasyarakatan dari semasa ke semasa dan berharap setiap program dapat memberi impak kepada masyarakat untuk jangka masa panjang.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, penyertaan syarikat korporat dalam menyalurkan sumbangan zakat kepada masyarakat dalam melaksanakan CSR adalah satu perkembangan positif.

Katanya, terkini kutipan zakat di negeri ini mencecah RM100 juta berbanding lapan tahun lalu yang tidak sampai RM50 juta berikutan kesedaran individu dan korporat membayar zakat.

Beliau berharap setiap umat Islam dapat menghayati konsep yang terkandung dalam perayaan korban dan mengambil pengajaran daripada pelaksanaan ibadah itu untuk menjadi umat Islam yang lebih baik.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 31 OKTOBER 2012

Tiada ulasan: