PENGUNJUNG SETIA

24 Oktober 2012

PEKEBUN DISARAN GUNA CANTAS

Pegawai MPOB memberi penerangan mengenai kualiti buah sawit yang dituai menggunakan Cantas pada Program Jom Guna Cantas Wilayah Selatan Zon Ledang di Bukit Gambir. 
[ FOTO HAI ROZZAMAN JALAL/ BH ]

Ledang: Pekebun kecil dan syarikat perladangan sawit negeri ini disaran merebut peluang mendapatkan Skim Diskaun Cantas (SKIDIC) bagi membeli mesin penuai buah sawit bermotor dikenali sebagai Cantas melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Melalui skim berkenaan, kerajaan memperuntukkan RM5.3 juta bagi memberi peluang kepada pekebun kecil membeli mesin Cantas dengan diskaun bernilai RM1,000 bagi setiap unit.

Ketua Wilayah Selatan MPOB, Zulkifli Shawal, berkata kerajaan menyediakan skim diskaun berkenaan yang ditawarkan kepada pekebun kecil dan syarikat perladangan sawit untuk menggunakan teknologi menuai tandan sawit dan memotong pelepah sawit bermotor.

Tawaran berakhir hujung tahun

Katanya, tawaran bagi mendapatkan SKIDIC akan berakhir penghujung tahun ini atau pun sehingga peruntukan yang disediakan pihak kerajaan habis diagihkan kepada pemohon.

“Pekebun kecil sawit perlu merebut peluang ini dengan memohon SKIDIC untuk membeli mesin Cantas yang berharga antara RM2,500 dan RM4,400 seunit.

“Setakat ini, sebanyak RM2.3 juta diskaun berkenaan diberikan kepada pemohon dan baki yang ada perlu dipohon berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat’ sehingga peruntukan habis,” katanya ketika berucap merasmikan Program Jom Guna Cantas Wilayah Selatan Zon Ledang anjuran MPOB di Kompleks Mohd Janis Sdn Bhd dekat Bukit Gambir.

Seramai 150 peserta terdiri daripada peniaga, penuai, koperasi dan pekebun kecil sawit menghadiri program pengenalan dan demonstrasi penggunaan mesin berkenaan.

Hadir sama Felo Penyelidik Kanan NKEA MPOB, Adzmi Hassan; Ketua Kumpulan Unit Perundingan dan Implentasi Projek MPOB, Zulkifli Abd Manaf; Ketua Pejabat MPOB Cawangan Tangkak, Ab Rahman Mohamed dan Pengarah Urusan Mohd Janis Sdn Bhd, Mohd Janis Abu Bakar.

SUMBER: BH JOHOR, 24 OKTOBER 2012

Tiada ulasan: