TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

13 Oktober 2012

'JANGAN SALAHKAN BAHASA MELAYU'

Wartawan Sinar Harian

'Jangan salahkan Bahasa Melayu'
Abdul Ghani (tiga, kiri) selepas merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 Peringkat Negeri Johor di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak, semalam.
 
TANGKAK -  Orang Melayu diminta supaya tidak menyalahkan Bahasa Melayu jika mereka gagal memperolehi kecemerlangan dalam bahasa tersebut yang sudah wujud sejak beribu-ribu tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, Bahasa Melayu sudah digunakan oleh generasi terdahulu sejak era Majapahit dan menjadi perantara dalam kalangan peniaga di Asia Tenggara.

“Bahasa Melayu juga digunakan dalam pelbagai golongan masyarakat di Kepulauan Melayu kepada kaum Melayu, Cina dan India.

“Bagaimanapun, kehebatan Bahasa Melayu semakin berkurangan selepas abad ke-20 apabila ramai pihak termasuk bangsa Melayu sendiri menganggap bahasa ini tidak moden,” katanya ketika merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 Peringkat Negeri Johor di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak, di sini, semalam.

Beliau berkata, Bahasa Melayu memainkan peranan penting dalam memberikan ilmu pengetahuan kepada ribuan pelajar pada 1983 dan turut digunakan di institusi pengajian tinggi negara.

“Bahasa ini digunakan untuk pengajian sastera, sains, kejuruteraan termasuk sains tulisan. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) contohnya menggunakan bahasa ini sebagai bahasa pengantar dalam pengajian di institusi berkenaan.

“Ia perlu terus dimajukan dan badan politik juga korporat digesa agar memahami Dasar Bahasa Kebangsaan,” katanya.

Menurut Abdul Ghani, dasar tersebut telah membantu kejayaan pendidikan dan pentadbiran negara dan ia perlu disokong supaya meluas ke sektor swasta.

Terdahulu, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan berkata, Bulan Bahasa Kebangsaan telah disambut sejak 1960-an.

“Kita menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan bahasa kebangsaan ini untuk pembangunan negara berdaulat,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 13 OKTOBER 2012

Tiada ulasan: