PENGUNJUNG SETIA

01 Oktober 2012

IPD LEDANG SANTAI DEKATI AWAM

Wartawan Sinar Harian

IPD Ledang santai dekati awam
Harun tidak melepaskan peluang menyertai pertandingan sepak bola dalam gol pada program Santai Bersama PDRM IPD Ledang, semalam.
 
LEDANG - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang mengambil inisiatif mendekati masyarakat setempat menerusi penganjuran program Santai Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) IPD Ledang yang berlangsung selama dua hari dan berakhir semalam.

Program dengan kerjasama Stesen Radio Malaysia (RTM) Melaka FM itu, antara lain bertujuan untuk mencungkil bakat bagi mencari bintang baru Melaka FM siri ketujuh.

Menariknya, sepanjang program tersebut berlangsung, ia disiarkan secara terus menerusi saluran radio Melaka FM.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, IPD Ledang sangat mementingkan hubungan yang erat dengan masyarakat setempat kerana mereka menjadi ejen yang membantu polis menyelesaikan kegiatan jenayah di daerah ini.

Menurutnya, tanpa maklumat yang mereka salurkan itu, tentu sekali polis berhadapan kesukaran untuk membanteras masalah jenayah.

“Jadi bagi menghargai jasa mereka, kita menganjurkan program khas seperti ini supaya hubungan erat yang  sedia terjalin terus berkekalan.

“Mereka memberikan kerjasama yang baik dengan menyertai lebih 10 acara sukaneka yang diadakan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada program tersebut yang berlangsung di Padang Dewan Jubli Intan Tangkak, dekat sini.

Harun berkata, dalam program tersebut turut diselitkan sesi ceramah berkaitan keselamatan untuk menyampaikan maklumat terkini berkaitan senario terbaru jenayah yang berlaku.

“Maklumat yang disampaikan diharapkan menjadi panduan kepada orang ramai agar lebih berwaspada dalam soal  keselamatan di rumah masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, program tersebut juga adalah gabungan Hari Keluarga untuk 312 anggota IPD Ledang.

“Pada hari biasa, setiap anggota sibuk dengan tugas hakiki, jadi hari ini peluang kepada mereka untuk beriadah bersama semua anggota yang turut membawa ahli keluarga masing-masing.

“Antara acara lain yang turut diadakan ialah pertandingan mewarna kanak-kanak, persembahan artis undangan, pameran, jualan, ceramah agama dan persembahan qasidah,” katanya.

Harun yang memenangi tempat kedua pertandingan sepak bola dalam gol kecil bercadang untuk menjadikan program tersebut sebagai acara tahunan IPD Ledang.

SUMBER: SINAR HARIAN, 01 OKTOBER 2012

Tiada ulasan: